Hanya keajaiban halang Liverpool jadi juara

35

KOLUM APA KATA EPL

TIADA minggu paling sibuk bagi pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) selain ketika musim perayaan Krismas dan Tahun Baru pada setiap tahun. Dan ia tidak terlepas bagi tahun ini. Tiga aksi dalam tempoh seminggu harus didepani.

Sebab itu tidak menghairankan, ramai pengendali termasuk Pep Guardiola dan Jurgen Klopp tidak habis-habis meluahkan rasa geram dengan jadual yang padat itu.

Apapun, bagi minggu ini, disebalik kesibukan itu, ucapan tahniah perlu diberikan kepada Liverpool dan penyokong setia mereka atas kejayaan menjadi ‘juara separuh musim’ yang berakhir pada Khamis lalu iaitu pada ‘Boxing Day’.

Biarpun hanya 18 aksi, kurang satu aksi The Reds menguasai puncak liga dengan kelebihan 13 mata, hasil himpunan 52 mata mengatasi Leicester yang menghuni tangga kedua.

Penyandang juara, Manchester City hanya menduduki tangga ketiga ketinggalan 14 mata. Liverpool kurang satu aksi iaitu menentang West Ham yang ditangguhkan kerana menyertai Piala Dunia Kelab di Qatar dua minggu lalu.

Dengan baki 19 perlawanan lagi bagi fasa kedua yang bermula minggu ini, kedudukan Liverpool untuk bergelar juara jelas sukar digugat.

Jika mengikut hitungan, tanpa mengambil kira aksi City menentang Wolves pagi tadi, The Reds hanya perlu menang baki 14 aksi dan seri sekali. Jadi tiada tekanan untuk Klopp dan anak buahnya.

Juara kelab dunia dan Eropah itu kini bergantung sepenuhnya kepada kebijaksanaan mereka sendiri untuk memastikan kejuaraan liga tidak terlepas lagi selepas 30 tahun menanti.

Dengan momentum cemerlang yang disajikan seperti ketika membelasah Leicester 4-0 di King Power pada Boxing Day jelas tiada pasukan lain yang boleh menghalang mereka.

City yang dianggap pencabar terkuat, sudah dibelasah 3-0 sebelum ini. Hanya seteru ketat, Manchester United yang mampu ‘mendiamkan’ seketika mereka sebelum ini dengan keputusan 1-1 di Old Trafford.

Minggu ini, Liverpool akan menentang Wolves. Mampukah sang serigala ini meleburkan impian indah Klopp dan pasukannya menjelang sambutan tahun baru pada Rabu ini? Kita tunggu dan lihat.

Sementara itu, aksi tumpuan minggu ini sudah pasti terarah kepada pertemuan antara dua tetangga di London, Arsenal dan Chelsea di Emirates. Kedua-dua pasukan mencatat keputusan kurang baik pada Boxing Day.

Arsenal diikat 1-1 sama Bournemouth manakala The Blues diaibkan Southampton 0-2. The Gunners yang kini dibimbing Mikel Arteta perlu bangkit. Begitu juga Frank Lampard. Selepas memalukan Jose Mourinho dan Spurs minggu lalu, kekalahan kepada The Saints amat mengejutkan. Menang hanya penawar duka kedua-dua jurulatih. Selamat menonton.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: