Pendidikan literasi kewangan elak pengguna jadi mangsa ‘financial scam’

09

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Literacy in Financial Technology (LIFT) atau celik teknologi kewangan dan kemahiran kewangan amat penting kerana ia mampu menjadi pertahanan pertama bagi pengguna daripada amalan pasaran yang tidak adil.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pendidikan literasi kewangan perlu dimulakan daripada peringkat sekolah kepada institusi pengajian tinggi (IPT), sehinggalah membabitkan golongan pekerja atau peniaga dan pesara.

Katanya, ia juga penting untuk peserta dalam industri kewangan dan yang berkaitan mengetahui risiko berkaitan penggunaan Fintech, iaitu ‘financial technology’.

“Oleh kerana teknologi terus berubah cara bagaimana perkhidmatan dan produk kewangan diperkenalkan, pengguna perlu dilengkapi kemahiran untuk mengamalkan kebersihan siber yang baik atau bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa ruang siber.

“Dalam masa sama, kerajaan perlu memperkenalkan polisi serta undang-undang yang mengambil kira aspek perkhidmatan kewangan melalui teknologi sedia ada dan yang akan diperkenalkan, serta perlindungan ke atas pelanggan dan peserta industri,” katanya ketika merasmikan Festival Putrajaya LIFT 2019 di sini, hari ini.

Festival anjuran Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) itu bermatlamatkan pemerkasaan celik kewangan sejajar hasrat kerajaan untuk membina masyarakat digital.

Pada masa sama, festival berlangsung selama dua hari sehingga esok, mempamerkan literasi teknologi kewangan pada masa kini dan hadapan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kepekaan terhadap risiko berkaitan penggunaan Fintech penting, antaranya mengelak menjadi mangsa salah guna maklumat mereka oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai akses kepada maklumat pengguna.

“Selain itu, mengetahui berkaitan penipuan kewangan atau ‘financial scam’ melalui media sosial atau telefon. Sebagai contoh ancaman dan seterusnya arahan palsu supaya mangsa membuat pindahan wang kepada akaun tidak diketahui.

“Misalnya, sekarang ini ramai individu menjadi mangsa Macau Scam yang menawarkan pelbagai pelaburan, terutamanya golongan wanita,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, penganjuran Festival Putrajaya LIFT 2019 memberi ruang kepada institusi kewangan dan pihak yang berkaitan untuk mengenali dan mengetahui lebih lanjut mengenai Fintech, seterusnya dapat membina keyakinan segenap lapisan masyarakat untuk terbabit dalam urus niaga secara maya.

Terdahulu, Dr Wan Azizah berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia setakat September tahun ini berkembang 4.6 peratus, tidak jauh beza berbanding unjuran 4.9 peratus yang dibuat ketika pembentangan Belanjawan 2019.

Malah, katanya, dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan dua bulan lalu, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara bagi keseluruhan tahun ini adalah pada tahap 4.7 peratus.

“Pertumbuhan ini juga tercapai tanpa kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan. Ini amat penting bagi memastikan supaya kuasa beli rakyat tidak terjejas dalam usaha mengembangkan ekonomi negara.

“Setakat Oktober tahun ini, inflasi berada pada tahap rendah, dengan kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) hanya pada tahap 1.1 peratus berbanding Oktober 2018.

“Bagi 10 bulan pertama tahun ini, purata inflasi hanyalah pada kadar 0.6 peratus berbanding 10 bulan pertama tahun lalu. Ini berbanding satu peratus bagi 10 bulan pertama tahun lalu berbanding tempoh sama pada 2017.

“Ini jelas satu manifestasi kerajaan yang berupaya mengurus dan mentadbir ekonomi dengan baik,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: