Artis Malaysia- Syatilla Melvin

- Advertisement -
Siti Nur Syatilla binti Amirol Melvin (lahir 8 Februari 1991) merupakan seorang pelakon dan model wanita Malaysia. Beliau merupakan salah seorang finalis Dewi Remaja 2009/2010 bersama-sama dengan Neelofa, Izara Aishah dan Anzalna Nasir. Beliau aktif sejak 2012 dan sering muncul dalam beberapa drama dan telefilem Melayu.
Syatilla merupakan adik ipar kepada bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri dan Timbalan dan Penasihat Khas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman.
Kehidupan awal
Syatilla dilahirkan pada 8 Februari 1991 dan berasal dari Parit Buntar, Perak. Beliau merupakan anak kedua daripada lima orang adik-beradik, bapanya berketurunan Jepun manakala ibunya berketurunan Melayu. Kakak sulungnya ialah Syafiqa merupakan pemenang tempat kedua rancangan Gadis Melayu. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja. Adiknya, Syifa juga bergiat aktif dalam bidang pemodelan dan lakonan.
Kerjaya
Syatilla Melvin memulakan kerjaya awalnya sebagai model apabila menjadi salah seorang finalis Dewi Remaja 2009/2010, bersama-sama dengan Neelofa, Izara Aishah, Azar Azmi, Ramona Zamzam dan Anzalna Nasir. Beliau kemudiannya terjun ke bidang lakonan pada 2012 dan berlakon dalam beberapa telefilem dan drama Melayu. Drama pertama lakonannya ialah BFF (Best Friends Forever) yang disiarkan di TV3 pada tahun yang sama.
Namanya menjadi popular hanya lapan bulan selepas menyertai bidang lakonan tanah air. Pengalamannya sebagai model dalam sebarang iklan membolehkan Syatilla mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan. Selepas berlakon dalam BFF, beliau berlakon dalam beberapa lagi drama dan telefilem, antaranya ialah Dalam Setiap Sujud, Rindu Bertamu di Abu Dhabi, Kalau Bukan Aku dan Rentas Samudera.