‘Sophia’ buat penampilan di Sidang Kemuncak KL 2019

09

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Kuala Lummpur 2019 turut mendapat sentuhan teknologi terkini dengan kehadiran robot humanoid ‘Sophia’, yang dijadual membuat penampilan dan menyampaikan kata-kata aluan kepada semua delegasi sebaik sahaja selesai majlis perasmian esok.

Naib Presiden Kanan (Latihan dan Projek Khas) Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik), Dr Mohamed Ackiel Mohamed, yang bertanggungjawab membawa robot berkenaan, berkata ia berupaya mempamerkan 50 ekspresi wajah seperti manusia dan berinteraksi dengan orang ramai.

“Sophia akan membuat penampilan dan menyampaikan kata-kata aluan kepada semua delegasi sebaik sahaja selesai majlis perasmian esok.

“Robot ini dibawa atas permintaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dan akan dipamerkan di ruang pameran Serba Dinamik sehingga sidang kemuncak ini tamat,” katanya.

‘Sophia’ yang membuat penampilan pertama di negara ini sekitar Julai lalu sempena ‘Beyond Paradigm Summit 2019’, juga robot pertama di dunia diberikan status ‘kerakyatan’ oleh Arab Saudi sempena ‘Future Investment Summit’ di Riyadh pada 25 Oktober 2017.

KL Summit 2019 sehingga Sabtu ini, bertema ‘Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara’, dirasmikan hari ini oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sidang kemuncak bertujuan berbincang dan mencari jalan penyelesaian baharu lagi berkesan bagi menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi dunia Islam selain menyumbang ke arah meningkatkan kesejahteraan umat Islam serta negara-negara Islam secara umum.

Ia menjadi pentas bagi kira-kira 450 pemimpin negara, pemimpin Islam, cendekiawan, pemikir dan bijak pandai dari 56 negara untuk berbicara serta bertukar pandangan mengenai isu berkaitan dunia Islam.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: