V17 telefon pintar lima kamera

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: VIVO Malaysia melancarkan model telefon pintar terbaharunya, V17 yang bakal meneruskan momentum populariti jenama pengeluar telefon pintar berkenaan selepas pelancaran V17 Pro pada Oktober lalu.
V17 kini menampilkan keunikan Skrin Ultra O Super AMOLED dan lima kamera bertaraf profesional baharu dalam usahanya memenuhi keinginan pelanggan untuk kualiti fotografi mudah alih terbaik pada harga mampu milik iaitu RM1,699.
Pakar Produk VIVO Malaysia, Raymond Lee, berkata pengenalan V17 menunjukkan pendekatan syarikat untuk mewujudkan produk yang memenuhi kehendak pelanggan dan mengembalikan kedudukan VIVO dalam menyediakan pengalaman mudah alih terbaik Malaysia.
Katanya, rekaan telefon pintar yang memuatkan lima kamera dan skrin Ultra O bakal memberikan pengalaman baharu kepada pengguna yang sentiasa mahukan kelainan dalam fotografi.
“V17 membuktikan pemahaman kami kepada kehendak pengguna, dan kami sangat bangga dengan inovasi ini. V17 boleh didapati di Malaysia bermula 21 Disember nanti.
“Bahkan bagi golongan muda, kami bawakan pengalaman permainan mudah alih terbaik menerusi Ultra Game Mode, yang membolehkan pengguna menyekat seketika sebarang gangguan luar seperti mesej dan maklumat aplikasi dan fokus kepada permainan mereka,” katanya pada majlis pelancaran VIVO V17 di sini, hari ini.
Rekaan dinamik dan futuristik V17 didatangkan dalam dua pilihan iaitu Admiral Blue dan Crystal White yang disepadukan dengan paparan skrin FHD+ sebesar 6.44 inci, satu kamera selfie 2.98mm dan teknologi imbasan jari di atas skrin.
Keunikan utama V17 terletak di belakang peranti yang menempatkan empat kamera AI Quad iaitu kamera utama 48MP, kamera SuperWide 8MP, Kamera Micro 2MP, dan Kamera Bokeh 2MP yang semuanya dihubungkan ke algoritma AI untuk cetusan hasil mengagumkan.
Antara ciri-ciri fotografi yang dipertingkat dalam V17 termasuk Super Night Mode dan Super Night Selfie yang mampu memberikan kejelasan maksimum bagi rakaman persekitaran gelap.
V17 juga dikuasakan dengan prosesor Qualcomm Snapdragon 675 AIE dan 8GB RAM + 256GB ROM untuk memacu prestasi optimum dan tahan lebih lama dengan kapasiti bateri yang lebih besar 4,500mAh serta teknologi pengecas Dual-Engine Fast Charging Tech.