Porsche Macan GTS facelift – kuasa 380 PS, 520 Nm

- Advertisement -
Porsche Macan facelift diperkenalkan buat pertama kali pada pertengahan tahun 2018. Setakat ini ia ditawarkan dalam versi asas 2.0L, S 3.0L dan paling berkuasa Turbo yang menggunakan enjin 2.9L biturbo. Kini, versi GTS facelift pula diperkenalkan, dan ia terletak antara S dan Turbo.
Jika sebelum ini Macan GTS menggunakan enjin V6 3.0 liter biturbo, model facelift ini mendapat enjin V6 2.9 liter biturbo yang mampu menghasilkan 380 PS dan 520 Nm tork. Walaupun enjin ini lebih kecil, ia memberikan kuasa tambahan 20 PS dan 20 Nm berbanding sebelum ini. Sebagai perbandingan, Macan S menghasilkan kuasa 354 PS dan 480 Nm tork manakala Macan Turbo menghasilkan 440 PS dan 550 Nm tork.
Apabila dipadankan bersama transmisi klac berkembar PDK dan pakej Sport Chrono yang disediakan sebagai pilihan tambahan, Macan GTS mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas daripada sebelum ini. Laju maksimum adalah 261 km/j.
Sistem kawalan serapan Porsche Active Suspension Management (PASM) Gran Turismo Sport pada kenderaan ini telah ditala secara khas, bersama casis yang direndahkan sebanyak 15 mm untuk dinamik yang lebih baik. Suspensi udara adaptif disediakan sebagai pilihan tambahan dan boleh menurunkan kereta 10 mm lagi.
Porsche memberitahu, apabila menggunakan rim 20 inci RS Spyder Design dan brek besar (360 mm di hadapan dan 330 mm di belakang), Macan GTS mempunyai “kelincahan dan maklum balas sebuah kereta sports sebenar.” Pakej brek Porsche Surface Coated Brake (PSCB) dengan saduran tungsten carbide serta Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB) disediakan sebagai pilihan tambahan. SUV ini juga menggunakan sistem ekzos sports khas untuk model GTS.
Pada bahagian penampilan, Macan GTS datang terus dengan pakej Sport Design yang memberikan kemasan pada bahagian depan, belakang dan side skirt. Biasa bagi model GTS, kemasan pada bampar diwarnakan hitam manakala lampu hadapan jenis LED (dengan Porsche Dynamic Light System PDLS) dan lampu belakang 3D juga bahagian dalamnya digelapkan. Angkup brek berwarna merah.
Masuk ke dalam, Alcantara digunakan pada panel tengah tempat duduk sports, perehat tangan serta panel pintu, berserta selingan kemasan brushed aluminium. Stereng sports pelbagai fungsi dengan pedal penukar gear datang secara standard, bersama tempat duduk sport khas GTS. Menaikkan lagi ciri sporty, beberapa bahagian menggunakan warna merah.
Barangan pilihan lain yang disediakan untuk Macan GTS facelift ini adalah termasuk sistem bunyi Bose, tempat meletak telefon pintar dengan pengecas tanpa wayar, adaptive cruise control, Park Assist dengan kamera pandangan belakang dan keliling serta ioniser.