Mohamad Sabu tekankan kerjasama pertahanan sains teknologi

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menekankan potensi kerjasama industri pertahanan dalam bidang sains dan teknologi antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Angkatan Tentera Qatar pada sesi Forum Doha di Qatar, selama lima hari berakhir semalam.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, kunjungan hormat Mohamad bersama delegasi Malaysia diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada majlis itu turut menjadi platform perbincangan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara terbabit.
“Mohamad juga bertemu Menteri Pertahanan Jepun, Kono Taro bagi membincangkan isu keselamatan serantau dan kerjasama pertahanan antara ATM dengan Japanese Self Defense Forces.
“Mereka berbincang mengenai aspek bantuan kemanusiaan, bencana dan ketenteraan,” katanya.
Pada sesi lawatan ke Doha, Dr Mahathir disertai Mohamad turut mengadakan pertemuan dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani untuk menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) termasuk penubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi antara Malaysia dan Qatar.
Ia secara tidak langsung menggalakkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk aspek diplomasi dan budaya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kunjungannya ke Forum Doha adalah sebahagian perkongsian berwibawa digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan mengikut inisiatif diplomasi pertahanan.
Katanya, ia untuk menggalakkan hubungan pertahanan positif menerusi platform dua hala dalam menangani isu pertahanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa yang dikongsi Malaysia dan negara lain
“Lawatan itu juga menonjolkan komitmen berterusan Malaysia untuk mempromosikan industri pertahanan Malaysia kepada rakan strategik,” katanya.