Honda Airblade 2020 diperkenal di Vietnam – RM7.3k

- Advertisement -
Selepas Winner X, Honda sekali lagi melalukan kejutan di Vietnam dengan melancarkan sebuah skuter serba baru Airblade 2020. Airblade baru ini sebenarnya adalah model generasi kelima dengan mempunyai penampilan yang diubah sepenuhnya, tambahan pilihan enjin 150 cc (sebelum ini 125 cc) dan pelbagai lagi ciri.
Di Vietnam, untuk setiap versi Airblade 2020 (125 cc atau 150 cc), ia disediakan dalam dua pilihan versi iaitu Special dan Standard, dengan beza pada grafik serta brek sama ada CBS atau ABS (one channel). Harganya pula adalah antara 41.19 juta Dong (RM7,330) hingga 56.39 juta Dong (RM10,035).
Pada bahagian hadapan, Airblade 2020 mempunyai muka iras seperti Winner X, dengan bentuk lampu LED yang seakan sama, namun ia mempunyai jalur DRL lebih panjang ke atas. Lampu belakang juga menggunakan unit LED, yang terletak dalam satu unit bersama lampu penunjuk arah.
Untuk paparan meter, unit analog sebelum ini diganti dengan unit digital LCD baru yang nampak ringkas dan lebih kemas. Ia juga datang dengan sistem tanpa kunci, pengecas USB, ruang simpanan 22.7 liter di bawah tempat duduk (boleh menempatkan dua helmet) dan sistem Idling Stop.
Kedua-dua enjin yang ditawarkan pada Airblade 2020 ini adalah unit satu silinder suntikan bahan api penyejukan cecair dengan masing-masing mampu memberikan kuasa 11.3 hp dan 12.9 hp pada 8,500 rpm serta 11.68 Nm dan 13.3 Nm tork pada 5,000 rpm.
Kelengkapan lain pada Airblade 2020 adalah termasuk rim 14 inci (dengan tayar tanpa tiub saiz yang berbeza antara versi 125 cc dan 150 cc), tangki bahan 4.4 liter, fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang (tiada tabung).