Latihan Salah berbaloi

- Advertisement -
LONDON: Mohamed Salah berkata latihan bagi memantapkan kaki kanannya mula membuahkan hasil selepas dia meledak dua gol menggunakan ‘kelemahannya’ itu ketika menewaskan Watford 2-0, semalam.
Penyerang kelahiran Mesir itu menyumbat tiga gol pada minggu ini dan meledak gol dari sudut yang hampir mustahil ketika kempen Liga Juara-Juara menewaskan Salzburg 2-0, Khamis lalu.
Pengendali, Jurgen Klopp menyifatkan penyudah pemain berusia 27 tahun itu menentang kelab Austria itu menggunakan kaki kanannya sebagai ‘sensasi’.
“Saya melakukan latihan terhadap kaki kanan saya,” kata Salah. “Saya bertuah untuk gol yang pertama (menentang Watford), ia adalah serangan balas dan saya mendapat hantaran yang baik dan saya fikir kami menjaringkan gol pada masa yang tepat.”
Jaringan pertama Salah, semalam dan yang ketujuhnya dalam lima perlawanan liga membuktikan kelajuan yang dimilikinya selepas dia berlari bagi mengambil hantaran Sadio Mane sebelum melepaskan rembatan lencong menewaskan Ben Foster pada minit ke-38 dengan gol keduanya menggunakan kuisan ke belakang.
Liverpool ketika ini memimpin carta liga selepas mengumpul 49 mata daripada 17 perlawanan dan Klopp berkata dia gembira meraih kemenangan sekali pun pasukannya beraksi di bawah tahap sebenar. – Reuters