Artis Malaysia- Erra Fazira

06

Fazira binti Wan Chek (lahir 9 Februari 1974) atau lebih dikenali sebagai Erra Fazira ialah seorang peragawati, pelakon, penyanyi, pengacara, penerbit dan bekas ratu cantik Malaysia. Dilahirkan dan dibesarkan di Rawang, Selangor, Erra memulakan kerjaya profesionalnya pada 1992 dengan menyertai pertandingan Ratu Cantik Miss Malaysia World 1992 dan memenangi gelaran tersebut. Setelah itu beliau mula diintai ramai penerbit lebih-lebih lagi apabila wajahnya banyak muncul di pentas peragaan dan kaca televisyen. Pada tahun 1993, Erra dipilih untuk membintangi filem arahan Yusof Haslam berjudul Sembilu di samping pelakon dan penyanyi popular Awie dan Ziana Zain. Tidak lama selepas penggambaran, Erra merakamkan album EP pertamanya yang menggunakan namanya sebagai judul album dan didahului dengan single sulungnya “Cinta Abadi” pada tahun 1994. Pada tahun yang sama, beliau melancarkan kerjaya lakonannya dengan lakaran kejayaan apabila filem sulungnya itu mencatat kutipan pecah panggung, sejak itu beliau diberi jolokan sebagai “Primadona Filem Melayu Alaf Baru” sejak tahun 1994 hingga kini apabila deretan filem-filem lakonannya selepas itu turut mencatat kejayaan, suatu pencapaian yang sukar dicapai oleh mana-mana aktres tempatan selepasnya.

Erra telah muncul dalam beberapa filem terkenal termasuk Gerak Khas The Movie (2000), Janji Diana (2004), KL Menjerit 1 (2005), Cuci (2007) dan Polis Evo 2 (2018) dengan kutipan pecah panggung keseluruhan filemnya sudahpun mencecah RM100 juta. Menerusi dua buah filem, Soal Hati (2000) dan Hingga Hujung Nyawa (2004) , Erra telah diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia. Di dalam kerjaya muziknya, Erra telah menerbitkan sebanyak 6 album studio, 2 album EP serta beberapa album runut bunyi dan album himpunan. Sepanjang kerjayanya, Erra telah memenangi pelbagai anugerah di dalam kerjaya muzik, televisyen dan filem termasuk Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Anugerah Skrin.

Beliau berkahwin sebanyak dua kali, iaitu bersama penyanyi Yusry Abdul Halim (kini berkahwin dengan Lisa Surihani) dari 2003 hingga 2006, dan perkahwinan keduanya bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin (kini berkahwin dengan pelakon Indonesia, Laudya Chintya Bella) dari 2007 hingga 2014, dikurniakan seorang anak perempuan bernama Engku Aleesya.

Kerjaya

Single beliau, “Sandarkan” di samping lagu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza “Lakaran Kehidupan” (dari album Safa) telah dipilih oleh TV3 sebagai sebahagian daripada kempen 3D bagi mengumpul dana untuk Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia. Muzik video bagi kedua-dua lagu ini difilemkan dalam 3D di mana penonton TV3 memakai kaca mata 3D bagi menontonnya.

Pada 25 Oktober 2001, Erra meminjamkan suaranya untuk watak Putih dalam filem animasi Putih arahan Rashid Sibir yang berdasarkan daripada cerita rakyat “Bawang Putih Bawang Merah”. Filem terbitan Fine Animation ini turut menampilkan lakonan suara M. Nasir, Raja Azura, Wan Maimunah dan Mustapha Maarof.

Pada 3 April 2002, album kelima Erra, Sampai Bertemu dilancarkan. Lagu “Sampai Bertemu” dikeluarkan sebagai single pertama dan telah terpilih menduduki carta di beberapa stesen radio termasuk Manis FM, Radio Muzik, RMKL dan Best 104. Tenaga kerja album ini terdiri daripada Rosli Selasih, KRU, Adnan Abu Hassan, Fauzi Marzuki, Habsah Hassan, dan Amran Omar.

Pada 29 Ogos 2002, Erra dan penyanyi kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim digandingkan buat pertama kali di layar lebar menerusi filem komedi romantik, Mr. Cinderella arahan Ahmad Idham. Selepas itu, beliau dan Afdlin Shauki mengulangi peranan masing-masing dalam kesinambungan filem Soal Hati (2000), Soalnya Siapa yang membuka tayangan di pawagam pada 25 Disember 2002. Erra juga mempunyai peranan undangan khas dalam filem aksi komedi, MX3 lakonan Saiful Apek, Zul Yahya dan Faizal Hussein arahan Yusof Kelana.

Pada 16 Januari 2004, Erra melancarkan album studio keenamnya, Kini Kembali yang mengandungi 12 lagu, termasuk lagu duet bersama Yusry KRU “Jika Kau Tiada” dan sebuah lagu minus one, “Hanya Di Mata”. Beliau kembali bergandingan dengan Rosyam Nor menerusi filem Castello yang ditayangkan pada 9 Januari 2006, memegang watak sebagai Chalita, seorang wanita Thai dan isteri kepada Castello dan ibu kepada Phim. Filem ini turut dibintangi oleh Que Haidar dan Liyana Jasmay dan menerima tajaan daripada Biskut Julie’s yang turut mengeluarkan produk biskut Julie’s Castello bagi mempromosikan filem ini.

Erra mula mengumpul bahan terbaru untuk album studio ketujuhnya, Ya Atau Tidak. Album ini dikeluarkan pada 12 Jun 2006 merupakan album studio terakhirnya dalam kerjayanya sebagai penyanyi. Ya Atau Tidak mengandungi 10 lagu baru termasuk sebuah lagu yang dirakamkan dalam bahasa Bangkahulu, iaitu “Wang Kite Gale”.

Beliau bersama-sama Aaron Aziz dan Lisa Surihani menandatangai kontrak Wajah Eksklusif Astro sekaligus menandakan Erra bersedia untuk muncul sebagai pelakon TV.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: