Maxis perluas rangkaian akses fiber di Semenanjung

09

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis) memperluaskan rangkaian akses fiber di Semenanjung Malaysia menerusi kerjasama dengan Allo Technology Sdn Bhd (Allo), anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Kerjasama berkenaan sekali gus bakal menyediakan akses lebih besar kepada sambungan fiber untuk lebih ramai penduduk dan perniagaan di Cyberjaya, Bangsar South, Lembah Klang serta Jasin..

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gokhan Ogut, berkata, Maxis memperluaskan jejak perkhidmatan tetap secara agresif sebagai platform untuk terus menawarkan penawaran dan penyelesaian terbaharu syarikat.

“Maxis kini memiliki seramai 344,000 pelanggan yang melanggan perkhidmatan sambungan fiber di seluruh negara menerusi beberapa kerjasama termasuk dengan Telekom Malaysia (TM), SACOFA dan CT Sabah.

“Menerusi perjanjian kerjasama itu, dengan terbaharu bersama Allo serta pelanggan sedia ada, Maxis kini adalah pengendali dengan akses paling luas di Malaysia melebihi 3.7 juta premis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian akses bagi penyediaan Perkhidmatan Rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) Maxis dan Allo di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda; Pengerusi TNB, Tan Sri Dr Leo Moggie; Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Pegawai Eksekutif Allo, Rodzi Ahmad.

Di bawah perjanjian itu, Maxis akan menguruskan bahagian peruncitan dan perkhidmatan, manakala Allo akan menyediakan landasan asas bagi infrastruktur akses sehingga ke premis pelanggan.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, menerusi perjanjian itu, Maxis menjadi penyedia perkhidmatan runcit (RSP) TNB pertama untuk sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Allo merancang untuk terus mengembangkan RSP ke seluruh Semenanjung dan menyasarkan kira-kira 135,000 pelanggan menggunakan perkhidmatan fiber menjelang tahun depan.

“Kami juga akan memperluaskan perkhidmatan ke negeri lain seperti Melaka, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Kedah untuk terus menyediakan kemudahan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: