Yamaha Ego Solariz dalam empat warna baru – RM5.2k

- Advertisement -
Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd sekali lagi memberikan penampilan baru pada model Ego Solariz dengan kali ini disediakan dalam empat pilihan warna iaitu merah, biru, emas dan cyan. Harga model ini walaubagaimanapun masih tidak berubah, iaitu RM5,234 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Model semasa Ego Solariz ini dilancarkan di Malaysia pada tahun 2017 dan kemudiannya disegarkan semula dengan pilihan warna baru pada tahun 2018. Untuk tahun 2019 ini, pembaharuan yang dilakukan juga adalah sama, dengan hanya pilihan warna baru dan tiada perubahan lain.
Ego Solariz dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC 125 cc suntikan bahan api dengan teknologi Blue Core dan sistem penyejukan udara, mampu menghasilkan 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm. Transmisi yang digunakan pula adalah jenis automatik tali sawat V.
Pada bahagian hadapan, skuter ini dilengkapi dengan suspensi jenis teleskopik, rim 14 inci, tayar saiz 70/90 dan brek cakera manakala di belakang pula menggunakan lengan ayun dengan monoshock, rim 14 inci, tayar saiz 80/90 dan brek jenis dram. Tiada sistem brek ABS untuk motosikal ini.
Di bawah tempat duduk Ego Solariz terdapat ruang simpanan 10 liter, manakala berhampiran pemegangnya juga terdapat ruang simpanan kecil yang boleh memuatkan barangan seperti botol air atau lain-lain. Tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter.