Data, teknologi bantu kenal pasti golongan sasar

0

08

- Advertisement -

Saya menyatakan dalam kolum yang lalu, wujud kepincangan dan kelemahan ketara dalam pelaksanaan subsidi pukal. Subsidi pukal adalah amalan lama dan kerajaan memasukkan subsidi ke dalam harga sesuatu barang supaya harga barangan lebih rendah daripada harga pasaran.

Saya sudah buktikan subsidi pukal lebih dinikmati golongan di luar daripada sasaran berpendapatan rendah seperti golongan berada, rakyat asing dan ada juga yang diseludup ke luar negara.

Bantuan Sara Hidup (BSH) adalah salah satu pelaksanaan subsidi bersasar. Sasarannya adalah rakyat Malaysia golongan B40 pendapatan isi rumah kurang RM4,000 sebulan. Tetapi banyak lagi subsidi yang masih dilaksanakan secara pukal.

Antaranya petrol, diesel, gas LPG untuk kegunaan domestik, beras, tepung, gula serta minyak masak. Peruntukan dan penggunaan subsidi pukal dan kos penghantaran LPG, minyak masak dan tepung gandum sahaja bagi 2018 dan 2019 adalah RM870 juta dan RM810 juta, manakala bajet yang diperuntukkan bagi 2020 adalah RM610 juta.

Sejak mengambil alih kuasa pada 9 Mei 2018, kerajaan berjaya menstabilkan harga petrol RON95 RM2.08 seliter dan diesel RM2.18 seliter. Pengguna tidak perlu lagi beratur sebelum waktu tengah malam untuk mengisi petrol. Penggunaan RON95 adalah 90 peratus daripada jumlah penggunaan petrol keseluruhannya. Justeru, apabila harga petrol RON97 diapungkan, ia tidak menjejaskan langsung majoriti rakyat Malaysia.

Fasa kedua adalah untuk memastikan hanya golongan sasar rakyat Malaysia menikmati subsidi petrol. Ia juga dapat mengurangkan kebocoran dalam pembayaran subsidi pukal petrol sedia ada. Itu adalah sebahagian janji yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan petrol dalam kalangan rakyat dan pada masa sama mengagihkan semula subsidi secara saksama.

Daripada data yang kita peroleh daripada syarikat minyak dan Jabatan Statistik Malaysia, golongan B40 menggunakan 25 peratus RON95, M40 menggunakan 43 peratus dan T20 menggunakan 32 peratus. Bermakna B40 adalah golongan paling rendah menggunakan RON95 dan subsidi petrol secara pukal.

Mungkin kerana pemilikan atau jenis kenderaan seperti motosikal. Namun, jika dijumlahkan, B40 dan M40 adalah kelompok terbesar menggunakannya. Amat tepat sekali apabila kerajaan memperluaskan subsidi petrol bersasar meliputi M40 dan jika dijumlah, kedua-dua golongan itu menggunakan 68 peratus RON95.

Berdasarkan data juga, ia akan membabitkan 7.5 juta rakyat Malaysia B40 dan M40 memiliki kenderaan yang menepati kriteria ditetapkan. Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan beban golongan ini.

Ketika melaksanakan program subsidi petrol bersasar, kementerian menggunakan teknologi Analitik Data Raya (BDA) yang menggabungkan data dari pelbagai sumber seperti BSH, JPJ, LHDN, KWSP dan e-Kaseh. Ini adalah satu penemuan serta proses pembelajaran baharu buat kami.

Sejak itu, kementerian menjadikan Pembuatan Keputusan Berasaskan Data sebagai satu dasar. Saya sangat yakin BDA adalah metodologi masa depan yang mesti dijadikan prasyarat sebelum sesuatu inisiatif dilaksanakan.

Ini bagi memastikan kerajaan mendapat hasil optimum dan semua inisiatif betul-betul menepati golongan yang disasarkan di samping meningkatkan penjimatan daripada ketirisan yang banyak berlaku dalam inisiatif lalu.

Saya juga berasakan data tol melalui kad Touch N’ Go dan Plusmiles, kita akan tahu siapakah yang sering menggunakan tol. Jika gabungkan serta disemak silang dengan data pemilikan kenderaan serta tempat tinggal pemilik kenderaan dari JPJ, pasti kita akan dapat satu keputusan tuntas sama ada penghapusan tol itu wajar atau lebih baik kita laksanakan subsidi bersasar membantu golongan yang sering menggunakan tol.

Data laluan bas perkhidmatan awam dan dan data penumpang yang sering menggunakannya pasti dapat membantu pelaksanaan jadual dan laluan yang betul. Di sesetengah tempat kenderaan awam lebih dinikmati oleh pendatang asing. Jika ini berterusan, subsidi itu tidak menepati sasarannya.

Begitu juga dengan data murid sekolah. Pastinya daripada data itu, kita boleh cerakin siapa murid daripada golongan atasan dan golongan yang perlu dibantu. Murid golongan atasan selalunya tidak ambil sarapan di sekolah, walaupun diberi percuma. Dengan itu kerajaan boleh elakkan pembaziran dan ketirisan dengan menyasarkan pemberian sarapan kepada murid tertentu dan tidak perlu lagi menyediakan makanan untuk semua murid.

Dengan berbuat demikian, kerajaan dilihat bukan hanya sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan peduli rakyat, tetapi juga bijak dalam membantu kumpulan sasaran yang tepat dan pada masa sama penjimatan daripada pembaziran serta ketirisan itu dapat digunakan untuk membiayai banyak lagi program peduli rakyat.

Kerajaan akan terus mencari cara berkesan untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat. Yang pasti, kerajaan mempunyai banyak data berharga dan daripada data itu, inisiatif penting rakyat dapat dilaksanakan untuk menepati sasaran yang betul dan pada masa sama mengurangkan kos daripada kebocoran dan penyalahgunaan yang tidak perlu.

Saya harap ini akan menyumbang kepada banyak program pada masa depan menepati Pelan Pembangunan Mampan dan Berdaya Maju.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: