08

TAHUN depan pastinya era kegemilangan buat syarikat pengeluaran cip pemproses terkemuka dunia iaitu Advanced Micro Devices (AMD) yang bakal melebarkan jurang penguasaan perkongsian pasaran untuk segmen pemproses dengan seteru korporat utama mereka, Intel.

Tidak cukup dengan itu, AMD juga mengumumkan pelancaran pemproses kelas premium iaitu daripada generasi Threadripper siri 3000 yang memberikan lebih kuasa sekali gus meninggalkan pencabar mereka, Intel.

Menerusi generasi baharu Threadripper, ia memperlihatkan TR 3960X mempunyai 24 teras bersama 48 Threats yang kuasa prestasi sehingga 4.5GHz manakala untuk siri TR 3970X menawarkan 32 teras selain 64 Threads.

Kedua-dua pemproses premium mereka direka menerusi rekaan binaan 7nm dengan teknologi Zen 2 dan ia adalah siri 3000 terbaharu.

Berdasarkan perkongsian pasaran semasa, AMD mempunyai pegangan 18 peratus bagi segmen unit pemproses utama (CPU) dan ia lebih tinggi berbanding tahun lalu yang mencatatkan 17.1 peratus saja.

LISA menunjukkan kad grafik keluaran AMD.

Kenaikan itu antara lain disumbangkan oleh pengeluaran pemproses AMD generasi Ryzen siri 3000 yang menawarkan keupayaan prestasi lebih baik dan penawaran harga mampu milik untuk semua lapisan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif AMD, Dr Lisa Su baru-baru ini, turut optimis 2020 bakal menjadi waktu paling penting untuk syarikat berkenaan dengan penawaran lebih banyak produk segenap segmen.

Lisa berkata, Ryzen siri 4000 untuk pemproses mudah alih akan mula diperkenalkan awal 2020, namun beliau tidak meletakkan garis masa khusus untuk pelancarannya.

Ryzen 4000 pemproses mudah alih akan menggunakan rekaan binaan pemproses terbaharu iaitu 7nm dengan teknologi Zen 2 dan ia pastinya memberi kelebihan kepada AMD untuk jangka panjang.

Secara bandingan, dua cip pemproses iaitu Intel Core i9-9920X berbanding Ryzen 9 3900X menunjukkan siri terkini AMD adalah 18 peratus lebih pantas berbanding cip pemproses Intel.

AMD juga mengumumkan kad grafik terkini mereka dengan nama kod ‘Navi’ yang turut menggunakan teknologi 7nm dan ia akan dinamakan sebagai AMD Radeon RX5700 dengan sokongan format sambungan PCIe 4.0.

SIRI pemproses Ryzen memberi lonjakan luar biasa kepada syarikat itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sambungan PCIe 4.0 itu akan membolehkan kadar pemindahan data lebih pantas pada tahap 5GB/s dan ini akan hadir bersama papan induk terbaru iaitu AMD X570.

Sejak kemunculan model pemproses Ryzen beberapa tahun lalu, dominasi Intel dalam segmen berkenaan semakin berkurangan malah, AMD sudah menguasai segmen pemproses memandangkan syarikat itu mengeluarkan produk berprestasi tinggi namun harga yang jauh lebih rendah daripada Intel.

AMD juga begitu boleh dikatakan juara baharu segmen berkenaan berdasarkan beberapa ujian pemproses yang menunjukkan produk mereka lebih baik terutamanya untuk pemproses kelas prestasi tinggi iaitu Threadripper.

Penguasaan AMD ditambah dengan pengeluaran kad grafik terbaru mereka tidak lama lagi sekali gus memberi tekanan kepada Nvidia untuk menurunkan harga.

Sebelum ini, kad grafik Nvidia lebih baik daripada aspek penawaran teknologi terkini dan AMD mahu mencabar dominasi syarikat berkenaan dengan produk AMD Radeon RX5700.

AMD bakal memperluaskan penguasaan perkongsian pasaran pada tahun depan.
Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.