13

Oktober lalu, Thailand telah menerima model trak pikap Isuzu D-Max 2020 terbaru untuk pasaran di sana. Model berkenaan kemudiannya membuat penampilan umum yang pertama ketika acara Thai Motor Expo yang mula dibuka minggu lalu.

Seperti yang dapat kita lihat, model generasi ketiga itu diberi kelainan yang jauh berbeza daripada model sebelumnya, yang untuk pasaran Malaysia baru saja diperkenalkan pada Oktober lalu juga. Rupa bentuknya kini lebih moden dan agresif; misalnya dengan penggunaan rekaan gril besar pada wajah depannya.

Lampu utama lebih nipis, dengan teknologi bi-LED. Hadir juga palang kemasan krom di atas. DRL juga tidak ketinggalan, dari jenis LED. Lampu isyarat dan lampu kabus pula terletak di bahagian bawah sedikit. Bagaimanapun, pembaharuan rupa depan ini hanya untuk varian yang tertinggi sahaja, seperti pada D-Max V-Cross 3.0 Ddi yang ditunjukkan ini.

Profil sisi yang ada kini disifatkan memberi aspek aerodinamik yang lebih baik, dan telah diuji di terowong angin milik Institut Kajian Teknikal Keretapi Japan Railway (JR). Lain-lain kemaskini yang dilakukan ialah pada bahagian bawah badan trak ini, melalui penggunaan pelindung untuk mengurangkan kesan angin di bawah. Lengkuk tayar serta bahu pada badan trak ini juga kini lebih “licin”.

Bahagian belakang juga kelihatan segar dengan rekaan lampu belakang yang jelas, dengan lampu jenis LED. Begitu juga bahagian bampar yang diserasikan terus bersama bahagian truck bed. Rim aloi 18-inci juga ditawarkan sebagai pilihan terbaru. Bagaimanapun, perubahan yang lebih banyak dilakukan di bahagian dalam kabin.

Papan pemuka kini lebih menarik dengan sentuhan rekaan yang sedikit bersegi dan moden. Kualiti komponen dan kemasan yang digunakan juga telah dipertingkat dan bertambah baik – misalnya penggunaan material soft touch pada bahagian atas papan pemuka bagi varian tertentu.

Bentuk hexagonal di tengah, pembeli boleh memilih untuk mendapatkan skrin sentuh 9-inci untuk sistem infotainmen, lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Konsol tengan juga telah ditinggikan, serta jumlah pembesar suara pula menjadi lapan buah. Versi dalaman yang lebih ringkas tetap ditawarkan bagi D-Max versi komersial.

Binaan atau jaringan elektrikalnya pula sudah dinaik taraf dan bersedia untuk menerima sambungan bagi teknologi autonomous dan elektrifikasi di masa hadapan, walaupun hakikatnya ia kini masih belum dilengkapi dengan AEB. D-Max baru ini datang dengan sehingga maksimum enam beg udara, kawalan kestabilan serta pertama kali dengan ciri tinjauan titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang.

D-Max baru ini memiliki dimensi dan ukuran seperti berikut; 5,265 mm panjang, 1,870 mm lebar dan 1,790 mm tinggi, menjadikannya 30 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar dan lima milimeter lebih rendah; jarak antara rodanya pula ialah 3,125 mm, 30 mm lebih panjang. Ia menggunakan binaan Isuzu Dynamic Platform – walaupun masih dengan struktur ladder frame, banyak penambahbaikan telah dapat dicapai – kini ia lebih selesa dan lebih senyap.

Bahagian badannya kini melibatkan lebih banyak penggunaan besi high-tensile, dengan peningkatan keteguhan antara 30% hingga 46% pada bahagian-bahagian tertentu. Ini telah menyumbang kepada peningkatan daya tahan keseluruhan sebanyak 20% dan memperkukuhkan kawasan bumbung. Bahagian suspensi juga telah diperbaharui; titik mounting yang lebih tinggi diberikan bagi suspensi jenis double wishbone agar lebih stabil, manakala jenis leaf spring di belakang menjadi lebih tahan lasak. Stereng juga menjadi lebih mudah dan ringan untuk dikendalikan.

Dua jenis enjin ditawarkan; 1.9 liter dan 3.0 liter empat-silinder turbodiesel – enjin kecil berkenaan yang sama diperkenalkan untuk pasaran Malaysia sebelum ini. Unit RZ4E-TC berkenaan menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 hingga 2,600 rpm dengan gandingan kotak gear yang optimum untuk mendapatkan pecutan yang lebih baik.

Enjin 3.0 liter pula dengan kod 4JJ3-TCX turut diberikan banyak peningkatan, terhadap apa yang dilakukan kepada enjin 1.9 liter tersebut. Ini temasuk kebuk pembakaran yang dibentuk semula, penyuntik bertekanan tinggi, selaput ala berlian pada pin piston serta pengecas turbo pemboleh ubah geometri elektronik yang menghasilkan 190 PS dan 450 Nm – naik 13 PS dan 70 Nm berbanding unit 4JJ1-TCX.

Untuk memperbaiki agihan beban, kedudukan enjin dialihkan sedikit ke belakang dari gandar depan. Kotak gear automatik dan manual enam-kelajuan ditawarkan sebagai gandingannya. Model dengan pacuan empat roda turut melibatkan penambahbaikan lain, termasuk penggunaan propelar shaft aluminium untuk mengurangkan berat. Jarak meredah air ialah 800 mm. Isuzu D-Max di Thailand ditawarkan dalam pelbagai varian, dengan harga bermula antara 510,000 baht (RM70,200) hingga 1,164,000 baht (RM160,300).

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.