24

SELEPAS Mauricio Pochettino dipecat Tottenham Hotspur lebih seminggu lalu, kini giliran Unai Emery pula.

Pengendali Arsenal itu sememangnya berdepan pemecatan selepas pasukannya gagal memenangi tujuh aksi berturut-turut. Minggu lalu, dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), The Gunners diikat Southampton 2-2. Tambah memeritkan, pada aksi Liga Europa di laman sendiri, kelmarin skuad Emery diaibkan kelab Jerman, Eintract Frankfurt, 1-2.

Dengan pemecatan Emery itu semalam, bermakna dua jurulatih kelab gergasi EPL sudah ‘menyahut’ desakan penyokong setia mereka selepas tidak lagi dapat menahan keperitan tewas berterusan.

Minggu ini, Arsenal akan berkunjung ke Norwich – pasukan yang dianggap luar dugaan terutama penyerangnya, Teemu Pukki. Adakah dengan ketiadaan Emery itu, Arsenal mampu bangkit? Sama-sama kita tunggu.

Selasa lalu, Pochettino mengucapkan selamat tinggal kepada Spurs akibat prestasi merudum skuadnya hanya selepas kira-kira lima bulan selepas muncul naib juara Liga Juara-Juara. Tempatnya diambil ali Jose Mourinho.

Pelantikan bekas pengendali Manchester United itu diharap dapat mengubah nasib Spurs. Mourinho jelas langkah kanan, apabila skuadnya menang 3-2 ke atas West Ham dan mengulangi pencapaian positif itu apabila memenangi aksi Liga Juara-Juara menentang Olympiakos, 4-2 sekali gus mara peringkat16 terbaik.

Malam ini giliran Bournemouth pula menguji Spurs. Adakah tuah terus bersama Mourinho selepas melalui detik mendebarkan dua aksi awal.

Selain Pochettino dan Emery, sebenarnya turut berdepan tekanan dipecat adalah Ole Gunna Solskjaer. Sehingga ini kedudukan pengendali United masih dilihat selamat. Pun begitu, kekalahan mengejut 1-2 kepada Astana dalam saingan Liga Europa kelmarin harus menimbulkan rasa risau penyokong United selepas diikat 3-3 Sheffield pada aksi terakhir liga.

Minggu ini mereka menyambut kunjungan Aston Villa dengan sasaran meraih tiga mata jika enggan terus tertinggal jauh.

Berbalik kepada saingan di puncak liga, nampaknya Liverpool makin selesa mendahului saingan meskipun terpaksa bergelut menewaskan Crystal Palace, 2-1.

Malam ini skuad Jurgen Klopp menanti kunjungan Brighton dengan jangkaan mampu mengutip mata penuh. Memang benar, mereka juga bergelut ketika terikat 1-1 dengan Napoli pada aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu, namun ia bukan kerisauan besar buat Klopp.

Tanpa Fabinho yang cedera, penulis percaya Brighton sukar untuk menghalang The Reds mencuri tiga mata malam ini untuk mengekalkan kelebihan sembilan mata atau lebih dari itu jika Chelsea atau Leicester City tercicir mata minggu ini.

The Blues yang menduduki tangga ketiga akan menyambut kunjungan West Ham malam ini manakala Leicester menanti Everton malam esok. Selamat menonton.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.