10

BUSAN: Malaysia menyasarkan untuk menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi dari Korea Selatan, susulan hasrat negara itu untuk memfokuskan semula pandangannya ke rantau ASEAN.

Walaupun Vietnam muncul sebagai negara yang mendapat manfaat utama daripada pembaharuan minat oleh Seoul itu, Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Ashri Muda, berkata Malaysia juga tidak terlepas daripada menerima limpahannya.

“Vietnam sedang menarik industri berintensif buruh. Kekuatan Malaysia adalah dalam sektor berteknologi tinggi dan kita yakin mempunyai kelebihan dalam hal ini,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini semalam, menjelang ketibaan Tun Dr Mahathir Mohamad ke bandar pelabuhan selatan Korea itu.

Perdana Menteri tiba di Pangkalan Udara Gimhae jam 7.20 malam waktu tempatan (jam 6.20 petang waktu Malaysia), diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, bagi menyertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea (ROK) yang akan berlangsung esok.

Korea Selatan diiktiraf sebagai ekonomi paling inovatif di dunia di bawah Indeks Inovasi Tahunan Bloomberg 2019.

Pembabitan Korea Selatan dalam Dasar Pandang Ke Timur Malaysia sejak 1982 menjadi ciri penting kepada pembangunan Malaysia.

Di bawah Dasar Pandang Timur (LEP) 2.0 yang baharu, Malaysia bersedia untuk meneroka kekuatan Korea Selatan dalam teknologi dan inovasi yang maju, termasuk industri baharu, kecerdasan buatan, ekonomi digital, industri pengilangan robot dan industri pintar serta industri aeroangkasa.

Pada 2018, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan mencatatkan peningkatan sebanyak 7.2 peratus kepada AS$17.98 bilion (RM72.60 bilion), berbanding AS$15.76 bilion (RM67.71 bilion) pada 2017.

Korea Selatan adalah rakan perdagangan kelapan terbesar di dunia dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke-13 terbesar pada 2018.

Ashri berkata, selain perdagangan dan pelaburan, Malaysia juga dengan giat mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Pangkalan Udara Gimhae bagi menyertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea (ROK) yang akan berlangsung esok. – Foto BERNAMA

“Terdapat kira-kira 620,000 rakyat Korea yang melawat Malaysia dalam setahun dan kita merancang untuk meningkatkan jumlah ini, terutama sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) tahun depan.

“Rakyat Korea seolah-olah tertarik kepada Malaysia tetapi pada sisi lain, rakyat Malaysia juga melawat Korea,” kata Ashri, yang mendedahkan lebih 416,000 rakyat Malaysia melawat Korea tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, lebih banyak promosi akan dilaksanakan di Korea sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Malaysia menerima 616,783 pelancong dari Korea Selatan pada 2018, peningkatan sebanyak 27.3 peratus.

Dari Januari hingga Julai 2019, sejumlah 393,177 pelancong dari Korea Selatan melawat Malaysia, peningkatan 10.3 peratus berbanding tempoh sama pada 2018.

Selain sidang kemuncak itu, Dr Mahathir juga akan melawat kemudahan di Industri Aeroangkasa Korea, kilang Hyundai Rotem Changwon dan Samsung Heavy Industries Goeje Shipyard di Busan.

Dr Mahathir akan ke Seoul pada Rabu untuk lawatan rasmi selama dua hari, lawatan rasmi yang pertama ke Korea Selatan sejak memegang jawatan Perdana Menteri ketujuh.

Semasa lawatan itu, beliau akan disertai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking.

Pada Khamis, Dr Mahathir akan memimpin delegasi Malaysia dalam pertemuan dua hala dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In bagi membincangkan usaha untuk meningkatkan hubungan, ketika Malaysia dan Korea Selatan menuju ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada 2020.

Selepas mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan majlis menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara, iaitu Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Kerajaan Digital, Sains Kesihatan dan Perubatan serta Pengurusan Air dan Pembetungan.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Pangkalan Udara Gimhae bagi menyertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea (ROK) yang akan berlangsung esok. – Foto BERNAMA
Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.