23

LONDON: Penjaga gol Liverpool, Alisson berkata pasukannya berjuang mengelak ‘derita’ musim lalu menjelang pertembungan menarik membabitkan pendahulu Liga Perdana itu dengan Manchester City, tengah malam esok.

Penyandang juara, Pep Guardiola membuat kunjungan sukar ke Anfield dengan Liverpool ketika ini memimpin carta liga dengan kelebihan enam mata selepas 11 perlawanan dan belum pernah tewas.

City menjulang trofi Liga Perdana musim lalu selepas menamatkan saingan satu mata di depan skuad kendalian Jurgen Klopp dengan satu-satunya kekalahan Liverpool adalah ketika bertemu pasukan sama pada Januari.

Berikutan itu, Alisson menegaskan Liverpool tidak berminat untuk mengharungi situasi sama dan bertekad menjulang gelaran pada musim ini.

“Kami tidak mahu merasai lagi apa yang kami rasa musim lalu,” kata penjaga gol kelahiran Brazil itu. “Berada di tempat kedua dengan perbezaan satu mata, dan kami tidak tahu perlawanan apa yang menyebabkan kami kehilangan gelaran kerana kami banyak kali mencatat keputusan seri di mana kami sepatutnya menang.

“Kami juga tewas di gelanggang lawan kepada Man City di mana kami sepatutnya menang atau seri, dan ia bermakna kami perlu memberikan segala-galanya dalam permainan jika kami mahu menjadi juara Liga Perdana. Kami mahukannya dan kami akan cuba melakukannya.

“Musim lalu, kami memperoleh pengalaman yang hebat, musim yang hampir sempurna. Kami hanya tewas satu perlawanan dan perlawanan itu adalah menentang City. Jadi kami tahu betapa besarnya perlawanan ini bagi kami.

“Kami tahu betapa besarnya perlawanan ini untuk semua orang, bagi peminat kami. Pada akhirnya ia hanya tiga mata yang penting tetapi Manchester City adalah pasukan yang terbaik di liga sejak beberapa tahun kebelakangan ini jadi kami perlu memberikan segala-galanya untuk menang.”

Liverpool memperoleh pemanas badan yang baik menjelang aksi berkenaan apabila menang 2-1 menewaskan Genk dalam kempen Liga Juara-Juara manakala City sekadar seri 1-1 menentang Atalanta. – Agensi

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.