25

LONDON: Pertahanan Arsenal, Sokratis Papastathopoulos menegaskan tidak penting siapa yang memakai lilitan Gunners selepas Granit Xhaka digantikan oleh Pierre-Emerick Aubameyang selaku kapten.

Pengendali Arsenal, Unai Emery pada Selasa lalu mengumumkan Xhaxa digugurkan tugas sebagai kapten susulan reaksi buruknya terhadap peminat ketika seri dalam aksi Liga Perdana menentang Crystal Palace, minggu lalu.

Aubameyang akan menggantikannya sebagai ketua Gunners di atas padang, bermula dengan kunjungan ke Leicester City, Sabtu ini tetapi Sokratis merasakan ia isu yang tidak mustahak selagi semua pemain mempunyai sasaran yang sama di atas padang.

“Saya fikir ini kali pertama dia menjadi kapten,” kata Sokratis. “Bagi saya apa yang penting untuk Aubameyang adalah menjaringkan gol, dia perlu melakukan kerjayanya.

“Kapten atau sesiapa yang memakai lilitan di lengan di atas padang, saya tidak fikir ia amat penting. Dia pemain yang amat bagus, tetapi sesiapa yang menjadi kapten tidak begitu penting.

“Apa yang penting adalah keseluruhan pasukan berada dalam keadaan baik di bilik persalinan. Kami seperti satu keluarga. Jadi sesiapa yang berada di atas padang selaku kapten adalah perkara yang terakhir.”

Persembahan terumbang ambing Arsenal berterusan apabila seri 1-1 menentang Vitoria de Guimaraes dalam saingan Liga Europa yang menyaksikan kelab dari London itu gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan.

Ketika Gunners bergelut, Leicester memenangi keempat-empat perlawanan terakhir dan menghuni tangga ketiga Liga Perdana selepas 11 perlawanan. – Agensi

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.