11

Selepas Thruxton dan Rocket, Triumph Motorcycles kini memperkenalkan pula Bobber versi TFC (Triumph Factory Custom) yang diubah suai dengan kelengkapan prestasi serta perincian lain yang lebih premium. Model ini hanya akan dihasilkan sebanyak 750 unit untuk seluruh dunia.

Jika dibandingkan dengan Bobber Black, model TFC ini lima kilogram lebih ringan, hasil penggunaan panel gentian karbon termasuk penghadang lumpur hadapan dan panel tepi, serta lampu penunjuk arah yang juga boleh bertindak sebagai lampu belakang. Barangan ini juga menyumbang kepada rupa lebih menarik, bersama cat khas, yoke jenis billet bersama nombor keluaran, tempat duduk kulit serta rangka dan lengan ayun yang diwarnakan hitam.

Bukan setakat gaya, prestasi Bobber TFC juga dipertingkat dengan enjin yang kini mempunyai 10 PS dan 4 Nm tork lebih berbanding Bobber biasa. Enjin dua silinder 1,200 cc HT ini juga sekarang boleh dipaksa 500 rpm lebih tinggi, kepada 7,500 rpm. Melengkapkan naik taraf enjin ini adalah sistem ekzos Arrow dengan muncung gentian karbon pada kedua-dua sisi dan tambahan mod Sport, menjadikan kesemuanya ada tiga mod tunggangan.

Bagi memastikan prestasi yang menyeluruh, bahagian suspensi dan brek juga dipertingkat dengan antara komponen terbaik dalam pasaran iaitu fork dan monoshock Ohlins boleh laras sepenuhnya, serta set berkembar brek cakera dengan angkup Brembo M50 dan master cylinder Brembo MCS di hadapan.

Setiap pembeli Bobber TFC juga akan menerima pek penyerahan khas yang termasuk sijil pemilikan mengikut nombor motosikal dan ditandatangani sendiri oleh CEO Triumph, Nick Bloor, buku binaan motosikal kustom khas, kain pelindung motosikal Bobber TFC, fail dokumen TFC serta beg kulit TFC.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.