11

Model facelift bagi MINI Clubman F54 hari ini dilancarkan untuk pasaran Malaysia dalam versi Cooper S dengan harga RM298,888 tidak termasuk insurans, bersama jaminan selama empat tahun tanpa had batuan, servis berkala percuma dan program bantuan tepi jalan lima tahun.

Perubahan pada bahagian luar kenderaan ini adalah termasuk pada rekaan gril serta lampu utama dan lampu kabus LED. Pada keliling lampu utama bulatnya, terdapat lingkaran lampu putih yang bertindak sebagai lampu siang, dan juga boleh bertukar warna utama untuk menjadi lampu penunjuk arah. Warna merah Indian Summer Red yang ditawarkan pada Clubman facelift ini juga adalah baru.

Sebagai sebuah model varian Cooper S, Clubman baru ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter MINI TwinPower Turbo yang sama, dengan kuasa 192 hp dan 280 Nm tork, tetapi ia dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan baru. Hasilnya, pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 7.2 saat dan laju maksimum adalah 228 km/j.

Melalui padanan kuasa baru ini, Clubman baru juga dilengkapi dengan fungsi Start/Stop, mod Sport serta meluncur tanpa kesan engine braking apabila pedal minyak dilepaskan. Dengan ciri ini, penggunaan bahan api boleh dijimatkan sehingga 6.2 liter bagi setiap 100 km.

Rekaan keseluruhan bahagian dalam tidak berubah, tetapi sekarang ia menggunakan kemasan kulit MINI Yours Walknappa pada stereng dan tempat duduk (berwarna Carbon Black). Penyandar kepala juga mempunyai cetakan Union Jack dan suasana diserikan lagi dengan lampu biru pada beberapa bahagian. Sistem bunyi adalah daripada Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.

Satu lagi peningkatan baru pada Clubman ini adalah skrin sesentuh 6.5 inci resolusi tinggi dengan sistem navigasi dan MINI Connected dengan teknologi 4G SIM binaan dalam. Melaluinya, pengguna juga boleh menggunakan ciri Intelligent Emergency Call dan MINI TeleServices.

Aplikasi MINI Connected yang boleh disambungkan kepada sistem infotainmen ini telah dikemas kini untuk menawarkan servis digital seperti Concierge Service, Apple Carplay dan MINI Online. Antara fungsi yang boleh digunakan adalah menghantar info navigasi dari telefon ke kereta, menunjukkan lokasi, tahap minyak serta status kenderaan, dan membunyikan hon atau menyalakan lampu dari jauh.

MINI Clubman F54 facelift sudah boleh dilihat di pusat pameran bermula hari ini dan ditawarkan dalam warna British Racing Green, Pepper White, Thunder Grey, Melting Silver, Starlight Blue dan Indian Summer Red.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.