Aston Martin DBZ Centenary Collection – RM31 juta

- Advertisement -
Aston Martin dan rakan kongsi mereka, Zagato telah mendedahkan dua buah kereta unik yang dijual secara pasangan sebagai DBZ Centenary Collection, iaitu DB4 GT Zagato Continuation dan DBS GT Zagato. Ia dijual pada harga £6 juta (RM31 juta), tidak boleh dibeli berasingan dan cuma dikeluarkan sebanyak 19 pasang.
Bermula dengan DB4 GT Zagato Continuation, kereta klasik keluaran semula ini akan dibuat di Aston Martin Works dengan menggunakan semula cara kerja lama dan sedikit alat moden seperti teknologi imbasan digital untuk meningkatkan ketepatannya. Penggeraknya pula adalah enjin enam silinder sebaris dual ignition 380 hp, kotak gear manual empat kelajuan dan limited-slip differential.
Pasangannya, DBS GT Zagato pula lebih mudah menarik perhatian ramai kerana sebuah model moden yang menggunakan asas DBS Superleggera. Ia pertama kali dicat dengan warna Supernova Red seperti dalam gambar dan menggunakan kemasan gentian karbon terdedah, rim warna hitam dan emas, bumbung dan diffuser belakang gentian karbon berkilat, lencana sayap emas 18-karat di depan dan belakang, gril aktif hitam di depan, garis tepi yang disalut emas dan rim jenis satu nat di tengah.
Masuk ke dalam, bahagian kabin dibalut dengan kulit Caithness Spicy Red, bahagian penyandar kepala mempunyai tulisan Z timbul, beberapa kemasan gentian karbon dan aluminium yang dicetak secara 3D (pertama di dunia) serta roda stereng dan pedal penukar gear gentian karbon satin twill.
Walaupun ini adalah kereta moden, ia masih mengambil penting keunikan kerja tangan. Sebagai contoh, kemasan Gold PVD yang boleh dilihat pada beberapa bahagian dikilatkan dan diperkemas oleh pekerja pakar untuk mendapatkan perincian yang sempurna. Ia juga boleh dipilih dengan kemasan lain seperti gentian karbon dan aluminium.
Pada aspek prestasi, DBS GT Zagato masih mengekalkan enjin V12 5.2 liter twin turbo dari DBS Superleggera, tetapi ditala untuk menghasilkan 770 hp. Ini adalah 55 hp lebih banyak berbanding model standard dan ia dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan serta limited slip-differential. Menurut Aston Martin, DBZ Centenary Collection ini adalah kereta sports mereka yang paling mahal setakat ini.