Sekolah angkat di PD bakal dapat kemudahan teknologi terkini

- Advertisement -
PORT DICKSON: Kaedah pembelajaran dan pendidikan yang berasaskan teknologi terkini sangat penting untuk membantu membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia di negara ini.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ini kerana kecerdasan buatan (AI) dan internet dalam dunia pendidikan ketika ini amat penting terutama untuk masa depan negara.
Selaras dengan itu katanya, sebuah sekolah menengah di sini akan menjadi sekolah angkat pertama mendapat kemudahan itu daripada sebuah syarikat gergasi elektronik dan teknologi maklumat dari Jepun.
“Saya berpeluang bertemu dengan syarikat itu dan mengadakan perbincangan, saya lihat mereka menunjukkan minat untuk memberikan kelebihan itu.
“Justeru sebuah sekolah menengah di Port Dickson akan dipilih untuk mendapatkan manfaat ini, tetapi ketika ini ia masih di peringkat perbincangan termasuk mengenai pemilihan sekolah,” katanya berucap pada lawatan ke Sekolah Kebangsaan Intan Perdana di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Anwar turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM720,000 kepada SK Intan Perdana yang diluluskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri bagi pembinaan bumbung dataran pelajar di sekolah itu.
Sementara itu Anwar berkata, dalam keghairahan pemaju membuat pembangunan fizikal di daerah itu, beliau sering menekankan pihak terbabit untuk turut menyediakan kemudahan mampu milik kepada penduduk setempat.
Katanya, tidak salah untuk membina hotel bertaraf lima atau enam bintang tetapi pada masa sama pemaju perlu membina taman tema yang sesuai sebagai tarikan kepada orang awam.
“Kalau orang awam tidak dapat menginap di hotel yang mungkin harganya terlalu mahal, sekurang-kurangnya mereka dapat menikmati kemudahan taman rekreasi dengan harga yang murah,” katanya.
Selain itu beliau berkata, pelaksanaan projek pembangunan di kawasan itu juga harus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Katanya, pembinaan sebuah hotel di situ dijangka membuka kira-kira 600 pekerjaan baru terutama kepada golongan muda.
“Selain itu saya turut mencadangkan supaya latihan dan kemudahan tempat tinggal turut diberikan bagi membantu penduduk meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.