Pelaburan firma teknologi UK cermin keyakinan terhadap Malaysia

0

08

- Advertisement -

SUBANG JAYA: Beberapa pelaburan oleh syarikat teknologi dari United Kingdom (UK) di Malaysia mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia yang sedang bergerak di landasan yang tepat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata ini satu suntikan kepada pembangunan dan pertumbuhan teknologi di Malaysia dan isyarat permulaan bagi lebih banyak pelaburan penting yang signifikan dan strategik kepada agenda transformasi digital negara ini.

“Saya positif dengan komitmen baharu oleh syarikat teknologi dari UK akan mewujudkan banyak kemungkinan situasi menang-menang di samping membuka kunci sinergi yang akan membawa peningkatan perdagangan dan menambah baik perniagaan berhubung teknologi untuk kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Ideagen Technology Centre Of Excellence (CoE) di sini, hari ini.

Pelaburan itu juga mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan dan sebagai loncatan kepada pasaran yang lebih besar ASEAN.

“Saya amat bangga melihat gagasan kita meraih keberhasilan, susulan daripada pengumuman saya pada 30 April lalu bahawa lima pertubuhan teknologi UK termasuk Ideagen, merancang untuk melabur di Malaysia,” kata Gobind yang merujuk kepada lawatan kerjanya ke UK pada Februari lalu di mana beliau mengadakan siri mesyuarat peringkat tertinggi dengan kerajaan UK, industi dan akademi dalam bidang digital.

Beliau juga berkata, reputasi dan kehebatan Ideagen sebagai pembekal perisian pengurusan risiko kepada syarikat-syarikat dalam sektor sangat dikawal selia seperti penerbangan, perbankan dan sains kehidupan dengan tujuh daripada 10 syarikat perakaunan terkemuka UK dan tiga perempat daripada pertubuhan farmasi terbesar dunia adalah pelanggannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ideagen, Ben Dorks, berkata pelancaran CoE baharu di sini adalah langkah hebat dan signifikan oleh syarikat itu dalam strategi pertumbuhan globalnya.

“Kemudahan baharu jenama kami di Subang Jaya menempatkan ruang pejabat yang menarik dan penuh gaya seluas 21,000 kaki persegi menyediakan tapak yang kukuh, di mana kita boleh meluaskannya bukan sahaja di Malaysia malah ke rantau Asia-Pasifik.

“Malaysia ialah lubuk bakat teknologi, dan kita menyambut baik bakat berkenaan untuk menyertai Kumpulan Ideagen, yang kita yakini satu petunjuk jelas komitmen kami terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.

Dorks menambah bahawa ini adalah fasa menarik dalam pertumbuhan dan kejayaan Ideagen dan percaya CoE Malaysia akan memainkan peranan penting bagi membolehkan syarikat perisian menjadi pemain global dalam kerajaan, risiko dan pematuhan (GRC) pasaran perisian.

Perluasan Ideagen di Malaysia adalah sebahagian daripada projek CoE global syarikat itu yang telah mewujudkan fungsi perniagaan berdedikasi yang baharu dan hampir 150 pekerjaan di seluruh dunia.

Hanya dalam tujuh tahun, syarikat telah meningkatkan jumlah petugasnya daripada 30 kepada lebih 530 di seluruh dunia.

Tempat baharu di Subang Jaya boleh memuatkan 200 pekerja perisian dan profesional teknologi mahir yang lain.

-BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: