Honda CT125 antara motosikal yang akan ditunjukkan kepada dunia buat kali pertama di Tokyo Motor Show

- Advertisement -
Untuk bahagian kereta, kita sudah tahu Honda akan menunjukkan kali pertama Jazz generasi baru di Tokyo Motor Show (TMS) 2019 yang akan berlangsung hujung bulan ini, tetapi bagi bahagian motosikal pula, mereka baru mendedahkan beberapa model yang akan dibawa ke sana.
Sebagai tambahan kepada model semasa mereka, Honda akan membawa beberapa model motosikal baru, dengan tiga daripadanya ditunjukkan kali pertama kepada dunia iaitu Benly e dan Gyro e untuk kegunaan komersial, dan lebih menarik adalah CT125 yang akan dijual kepada umum sebagai tambahan untuk model retro kapasiti rendah mereka seperti Super Cub 125 dan Monkey.
CT125 dibina dengan inspirasi daripada model klasik Trail 110 tahun 80-an, tetapi menggunakan asas moden daripada MSX125. Jadi, enjinnya juga sama seperti MSX125, Super Cub 125 dan Monkey iaitu unit satu silinder suntikan bahan api dengan kuasa sekitar 9 hp pada 7,500 rpm dan 9.98 Nm tork pada 5,000 rpm.
Seperti yang boleh dilihat pada gambar, CT125 menggunakan gaya ala scrambler dengan ekzos yang lebih tinggi dan pelindung berlubang, rangka yang terdedah, brek cakera depan dan belakang, tempat meletak barang di belakang, satu panel meter bulat serta rim jenis spoked.
Selain motosikal yang disebutkan ini, Honda juga akan menampilkan model Africa Twin 2020 serta ADV 150 buat kali pertama di Jepun waktu TMS 2019. Africa Twin 2020 baru sahaja didedahkan di Eropah minggu lalu manakala ADV 150 pula didedahkan kali pertama di Indonesia Julai lalu.