Sistem digital tingkat tahap keselamatan komuniti

0

08

- Advertisement -

PUCHONG: Penduduk kawasan perumahan kini boleh meningkatkan tahap keselamatan komuniti menerusi sistem kawalan keselamatan secara digital.

Menerusi sistem itu, perlindungan keselamatan di kawasan perumahan berada di hujung jari penduduk apabila ia diintegrasikan dalam telefon pintar masing-masing.

Ia juga boleh dihubungkan dengan pejabat pengurusan penduduk dan pondok pengawal keselamatan, sekali gus mewujudkan pengurusan keselamatan lebih efektif dan menyeluruh.

Kemudahan itu diperkenalkan TimeTec menerusi Program Geran Komuniti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) i-Neighbour bernilai RM8 juta yang akan memanfaatkan 600 komuniti di seluruh negara.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan TimeTec, Norana Johar, berkata penajaan sistem itu membabitkan kos perkakasan dan perisian teknologi pintar mencecah RM13,300 bagi setiap komuniti.

Beliau berkata, United Overseas Bank (UOB) sebagai rakan kerjasama program CSR itu akan menyumbang tablet bernilai RM3,300 bagi setiap komuniti manakala bagi kos penajaan ditanggung TimeTec merangkumi sistem perisian teknologi pintar.

Katanya, geran i-Neighbour ditawarkan kepada Persatuan Penduduk, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Jawatankuasa Pengurusan (MC) selaku pengelola di sebuah komuniti penduduk.

“Kita perlu persetujuan daripada pihak terbabit sebelum dapat melancarkan sistem baharu ini.

“Ini adalah program CSR, maka yuran langganan bagi tahun pertama adalah percuma dan mereka juga tidak terikat dengan sebarang perjanjian. Mana-mana komuniti boleh menghentikan langganan jika berasakan ia tidak menepati keperluan mereka.

“Mereka yang ingin meneruskan langganan akan dikenakan bayaran serendah RM2 sebulan.

“Adalah digalakkan sambung langganan secara tahunan bagi memastikan kelancaran proses mengaktifkan sistem komuniti pintar di mana tablet akan ditempatkan di pondok pengawal, penduduk menggunakan aplikasi terbabit menerusi telefon pintar masing-masing dan pihak pengurusan penduduk boleh akses sistem berkenaan menggunakan komputer mereka,” katanya dalam temu bual bersama BH, di sini.

Mengulas ciri keselamatan i-Neighbour, Norana berkata, ia dilengkapi empat aspek utama iaitu sistem rondaan, butang panik, pengecaman nombor pendaftaran kenderaan dan QF Master.

“Sistem rondaan membabitkan penugasan rondaan pengawal keselamatan secara berjadual yang dikawal selia secara rapi syarikat keselamatan berkaitan.

“Butang panik pula dipasang menerusi telefon pintar masing-masing, ia bersambung dengan siren kit yang dipasang di pondok pengawal. Mereka yang berdepan kejadian pecah rumah boleh tekan butang itu dan ia secara automatik merakam gambar kejadian berkenaan.

“Sejurus menerima gambar dan siren berbunyi, pihak keselamatan akan mengerahkan anggotanya untuk menghulurkan bantuan keselamatan di rumah berkaitan,” katanya.

Norana berkata, sistem pengecaman nombor pendaftaran kenderaan membolehkan hanya kereta berdaftar masuk ke kawasan komuniti dengan kebenaran penduduk.

Katanya, QF Master pula diwujudkan sebagai cadangan alternatif kepada penduduk dan mereka yang berminat boleh menggunakan telefon pintar versi Android dan muat turun aplikasi QF Master.

“Pengawal keselamatan boleh mengimbas kod QR bagi mengecam wajah pelawat di pondok pengawal,” katanya.

Dalam pada itu, Norana berkata, ciri i-Account, e-undi dan kemudahan tempahan fasiliti serta laporan insiden melengkapkan sistem kepintaran teknologi terbabit.

Katanya, i-Account adalah sistem perakaunan yang diintegrasi dalam i-Neighbour untuk menguruskan invois tanpa kertas bagi penghuni membayar yuran menerusi aplikasi telefon pintar.

“Tempahan fasiliti seperti penggunaan gim dan dewan serba guna manakala laporan insiden seperti kerosakan lif, e-undi pula sebagai platform penduduk memberi maklum balas mengenai isu berbangkit dalam sesuatu komuniti dengan semuanya di hujung jari,” katanya.

Pihak yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian, https://www.i-neighbour.com/csr_program atau menghubungi Pengurus Kandungan TimeTec, Haw Lee Chin di talian 012-2297303.

Permohonan sistem komuniti pintar terbabit akan tamat pada 31 Disember ini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d