Arsenal dijangka terus bikin United terkedu

- Advertisement -
KOLUM APA KATA EPL
Minggu lalu persembahan dua pasukan berjiran di Manchester paling mencuri tumpuan. Ya, atas sebab berbeza. Manchester City mengejutkan ramai apabila melanyak Watford sehingga 8-0, sesuatu yang tidak diramal akan dilakukan oleh penyandang juara itu. Nafsu merobek gawang pasukan pelawat itu membuahk-buak apabila mendahului lawannya di final Piala FA itu, 5-0, hanya selepas 18 minit aksi.
Apa juga yang mendorong skuad bimbingan Pep Guardiola itu berbuat demikian termasuk kemungkinan lepas geram selepas diaibkan Norwich City, 2-3 seminggu sebelum itu, ia jelas bagai laungan amaran buat pasukan pencabar lain. Tengah malam ini waktu Malaysia, The Citizens akan berkunjung ke Goodison Park bertemu Everton. Ada lagi kenduri gol? Kita tunggu dan lihat.
Ketika City berpesta, berbeza pula dengan jirannya, Manchester United. Mereka dihambat duka apabila dimalukan 0-2 oleh West Ham, tatkala bibit keyakinan mula berputik kembali terhadap Ole Gunnar Solskjær. Kekalahan itu jelas perit diterima penyokong mereka termasuk di Malaysia.
Justeru, apabila United hanya mampu menewaskan pasukan kerdil, Rochdale menerusi penentuan penalti 5-3, selepas terikat 1-1 dalam saingan Piala Liga Inggeris pertengahan minggu, ada penyokong mereka mengganggap ia keterlaluan dan sukar menerimanya. Jadi tidak hairan apabila ada penyokong United di Britain tanpa berselindung mahu Solskjaer dipecat.
Dengan situasi bergelut yang kian merisaukan itu, adakah Solskjaer berupaya melakukan kebangkitan minggu ini? Sejujurnya itulah yang komuniti Old Trafford dan penyokong Red Devils harapkan. Bagi aksi minggu ini, menunggu United adalah naib juara Liga Europa musim lalu, Arsenal. Red Devils akan menjadi tuan rumah bagi aksi EPL minggu ini.
Aksi tumpuan minggu ini yang berlangsung jam 3 pagi Selasa ini waktu Malaysia, pastinya meletakkan Solskjaer dan Unai Emery dalam keadaan berhati-hati. Selepas enam aksi, Arsenal menghimpun 11 mata untuk menduduki tangga keempat liga, ketinggalan tujuh mata di belakang Liverpool manakala United ditempat kelapan dengan lapan mata.
Sebelum bertandang ke Old Trafford, The Gunners menewaskan Aston Villa 3-2 di Emirates dan pada pertengahan minggu, membelasah Nottinggham Forest, 5-0 dalam saingan pusingan ketiga Piala Liga Inggeris. Melihat kepada prestasi semasa, jelas The Gunners memiliki kelebihan dari segi moral berbanding United.

Namun rekod lalu menunjukkan United tidak pernah tewas kepada Arsenal dalam 12 aksi terakhir. Kali terakhir pada September 2006 iaitu 0-1. Pun begitu, mereka hanya menang tiga kali di laman sendiri dalam enam aksi terakhir termasuk menentang Leicester dua minggu lalu. Musim ini, Crystal Palace mengejutkan mereka di situ pada aksi kedua, 1-2. Bagaimana pada perhitungan kali ini?
Sementara itu, pendahulu liga, Liverpool dijangka tiada masalah mencatat kemenangan keenam berturut-turut apabila bertandang ke Sheffield United jam 730 malam ini waktu Malaysia bagi mengukuhkan terus kedudukan di persada liga.
Dengan kejayaan menyingkirkan MK Dons pada aksi Piala Liga Inggeris pertengahan minggu selain anugeran jurulatih terbaik FIFA yang diterima Jurgen Klopp, sudah pasti motivasi The Reds sukar dibendung. Adakah kita bakal melihat pesta gol di Stadium Bramall Lane?
Dalam pada itu, Tottenham Hotspur yang diaibkan lawannya dua kali dalam seminggu, perlu bangkit apabila menyambut kunjungan Southampton malam ini manakala Chelsea harus sudah pulih dari kekalahan ditangan Liverpool minggu lalu apabila menerima kedatangan Brighton. Selamat menonton.