BMW X3 xDrive30i M Sport G01 di Malaysia – RM329k

0

11

- Advertisement -

BMW Malaysia telah menambah satu lagi varian untuk barisan X3 G01 di pasaran tempatan dengan memperkenalkan xDrive30i M Sport. Berharga RM328,800, model pemasangan tempatan (CKD) ini adalah RM15k lebih mahal berbanding xDrive30i Luxury, dan ia didatangkan dengan waranti yang sama iaitu lima-tahun dengan perbatuan tanpa had bersama servis berjadual percuma serta waranti tayar selama 24-bulan. Walau bagaimana pun, X3 xDrive30i M Sport ini hanya ditawarkan sebanyak 120 unit sahaja di seluruh negara.

Varian ini dilengkapi dengan roda aloi jejari-berkembar style 699 M 20-inci dengan tayar run-flat, suspensi M Sport, brek M Sport dan kit badan M Aerodynamic. Bampar hadapan dan belakang juga nampak sporty – dengan hadapannya turut didatangkan dengan lampu kabus LED. Manakala di belakang pula turut ditampilkan diffuser gelap dan ekzos krom.

Di dalamnya pula, SUV ini menerima roda stereng balutan kulit M Sport, ambang pintu, kemasan kabin krom mutiara, dan juga pedal kaki M serta balutan kulit hitam Vernasca dengan jahitan kontras biru. Lain-lain ciri sama seperti Luxury line, termasuk sistem Touchscreen Navigation 10.25-inci dengan iDrive Touch dan sistem HiFi 12-pembesar suara dan 205 watt.

Tiada perubahan pada penjana kuasa. Ia masih dipadankan dengan enjin B48 2.0 liter empat-silinder dengan teknologi BMW TwinPower Turbo, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 252 hp pada 5,200 hingga 6,500 rpm dan tork 350 Nm dari 1,450 hingga 4,800 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke kesemua empat rodanya, dengan pecutan dari 0-100 km/j dalam 6.3 saat serta kelajuan maksimum mampu mencapai 240 km/j. Penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 7.6 liter per 100 km.

Walau bagaimana pun ada perbezaan daripada segi aspek keselamatan. Senarai cirinya tidak sama seperti sebelum ini. Ia hanya ada enam beg udara, dua cagak Isofix pada tempat duduk belakang, selain ABS, DSC. Lain-lain ciri seperti brek kecemasan sendiri (AEB), amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong dan sistem pemantauan titik buta tidak disertakan.

BMW X3 xDrive30i M Sport didatangkan dengan empat warna luaran – Alpine White, Carbon Black, Glacier Silver dan Phytonic Blue.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d