Celcom mula tawaran iPhone baharu

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd mula menawarkan produk terkini daripada Apple termasuk iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max selain kamera berkembar iPhone 11 di cawangan Celcom Blue Cube dan kedai dalam talian Celcom.
Ketua Eksekutif Celcom, Idham Nawawi, berkata pelanggan akan menikmati pengalaman digital yang mengagumkan apabila iPhone 11 dan iPhone 11 Pro digunakan dengan rangkaian 4G LTE Celcom.
“Pelaburan kami dalam teknologi terkini dan menyeluruh di tapak menara Celcom LTE akan meningkatkan pengalaman pelanggan yang menggunakan iPhone 11 dan iPhone 11 Pro terkini.
“Model telefon pintar baharu itu dilengkapi sistem kamera baharu yang lebih canggih, skrin menarik dan jangka hayat bateri yang lebih lama.
“Digabungkan dengan rangkaian berterusan Celcom yang optimum, kami menawarkan kepantasan data yang lebih tinggi untuk menyokong akses berkualiti tinggi dalam perkhidmatan multimedia.
“Ia termasuklah aspek penstriman video, penghantaran teks, suara dan imej, muat turun muzik atau filem dan permainan masa nyata yang pantas,” katanya dalam satu kenyataan
Model telefon pintar Apple iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max mempunyai ciri-ciri sistem kamera ‘triple’ yang menyediakan pengalaman kamera tahap profesional.
Ia dilengkapi dengan fungsi ‘Ultra Wide’; ‘Wide’ dan kamera Telephoto di samping boleh menghasilkan fotografi yang baik dalam keadaan kurang cahaya. Selain itu, ia juga didatangkan dengan kualiti video tertinggi di dalam telefon pintar.
Apple iPhone 11 ditawarkan dalam enam varian warna termasuk ungu, hijau, kuning, hitam, putih dan PRODUCT (RED).