Fakta bagi nisbah kenderaan kepada populasi ASEAN

- Advertisement -
Perhatikan grafik di atas, yang muncul di Facebook beberapa hari lalu. Ia hantaran laman web seasia.co, berkaitan senarai nisbah pemilikan kenderaan di negara-negara Asia Tenggara, dengan meninjau jumlah kenderaan yang didaftarkan bagi setiap 1,000 populasi. Melalui statistik di dalamnya, Brunei berada ditempat teratas, dengan 721 kenderaan bagi 1,000 orang, diikuti Malaysia dengan 443 kenderaan bagi 1,000 orang dan Thailand dengan 225 kenderaan bagi setiap 1,000 orang.
Namun, sumber dari mana data-data itu dipetik tidak pula dinyatakan. Carian seterusnya bagaimanapun memberi suluh kepada pertanyaan itu; laman Wikipedia “List of countries by vehicles per capita” adalah jawapannya. Adakah sumber ini boleh dipercayai? Secara umumnya tiada masalah dengan data yang dikongsikan itu (terutama kedudukan negara-negara yang ada), tetapi ia tidak mencerminkan dengan tepat dengan situasi terkini yang berlaku – tambahan bila data yang ditunjukkan itu bukan dari jendela masa yang sama (2013, 2015 dan 2018).
Mari kita lihat bagaimana hal ini terjadi. Laman web ASEAN Statistics Division (ASEANstats) menyediakan data yang lebih tepat. Di dalam dokumen perangkaan utama ASEAN 2018, statistik bagi tahun 2017 menunjukkan bahawa Brunei mempunyai 971 kenderaan bagi 1,000 populasi, sementara Malaysia dekat di belakang dengan 897 kenderaan bagi 1,000 populasi.
Sementara Thailand pula mempunyai nisbah 548 kenderaan bagi setiap 1,000 populasi. Bagi Indonesia, negara itu berada ditangga keempat; dengan 548 kenderaaan bagi 1,000 populasi; jauh lebih tinggu berbanding 87 kenderaan bagi 1,000 populasi seperti yang ditunjukkan dalam grafik awal itu tadi. Singapura pula, yang di dalam grafik berwarna itu dikatakan berada ditempat keempat, sebenarnya berada ditangga ke-enam di rantau ini – dengan data menunjukkan data pemilikan kenderaan di republik itu menurun pada 2010.
Berikut senarai pemilikan kenderaan yang sebetulnya di rantau ini setakat bagi tahun 2017, yang dirujuk dari pangkalan data ASEANstats:
- Brunei 971
- Malaysia 897
- Thailand 548
- Indonesia 499
- Laos 293
- Singapore 171
- Myanmar 127
- Philippines 99
- Vietnam 31
- Cambodia 28
Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian, rantau ini menyaksikan peningkatan bagi jumlah kenderaan yang didaftarkan, dengan 220 juta kenderaan dari semua negara terlibat pada 2017. Itu merupakan peningkatan sebanyak 167.8% berbanding tahun 2005, atau 8.6% setahun secara puratanya. Negara-negara yang menyaksikan peningkatan mendadak ini ialah Myanmar, Kemboja, Laos dan Indonesia – yang terakhir ini mencatatkan peratusan pertumbuhan sehingga 10.9% setahun.
Dalam kalangan negara ASEAN, Indonesia memiliki nombor kenderaan yang didaftarkan yang paling tinggi, dengan 130 juta unit kenderaan atau hampir 60% dari keseluruha angka di ASEAN pada 2017 – disumbangkan oleh populasi penduduk yang sangat besar di negara kepulauan itu.
Fakta lain yang menarik untuk dilihat ialah panjang rangkaian jalanraya di rantau ini telah mencecah 1.8 juta km pada 2017, naik 48.1% dari tahun 2006 dulu. Indonesia mempunyai rangkaian jalan terpanjang (539,400 km), diikuti oleh Vietnam (370,660 km) dan kemudian Thailand (284,730 km). Malauysia pula memiliki jarak jalanraya keseluruhan 237,000 km pada 2017.