GALERI: Toyota Corolla 1.8G 2019 – sekitar RM137k

- Advertisement -
Perhatian sekarang mungkin lebih bertumpu kepada GR Supra yang baru tiba, tapi sebenarnya ada satu lagi model Toyota lebih penting yang akan dilancarkan untuk Malaysia iaitu Corolla 2019. Walaupun belum dilancar secara rasmi, tempahan untuk model segmen C generasi ke-12 ini sudah berada di pusat pameran dan dibuka untuk tempahan.
Malaysia akan menerima dua varian Corolla 2019 iaitu 1.8E dengan harga anggaran RM128,888 dan 1.8G (seperti dalam gambar) pada harga anggaran RM136,888. Kedua-duanya digerakkan enjin 2ZR-FBE 1,798 cc yang digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, mampu menyampaikan 140 PS pada 6,000 rpm dan 177 Nm tork bermula 4,000 rpm kepada roda hadapan.
Corolla generasi ke-12 untuk ASEAN adalah model baharu sepenuhnya, diasaskan dari platform GA-C Toyota New Global Architecture (TNGA), yang sudah pun digunakan pada Camry baru dan C-HR. Ia tidak diberikan rupa yang agresif seperti model pasaran Amerika Syarikat, tetapi hadir dengan rupa yang lebih seiras dengan Corolla Sedan Eropah. Walau bagaimanapun, ia masih lebih garang dari model Altis sedia ada.
Dari aspek saiz, Corolla 2019 hadir dengan dimensi 4,630 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,435 mm tinggi, atau 10 mm lebih panjang, 5 mm lebih lebar dan 45 mm lebih rendah dari model generasi ke-11. Tetapi jarak roda model baharu ini masih kekal 2,700 mm. Suspensi belakang juga kini menggunakan tetapan double wishbone dan bukannya torsion beam seperti sebelum ini.
Kelengkapan standard lain yang diberikan pada Corolla 2019 adalah lampu utama automatik, DRL dan lampu belakang LED, rim 16 inci, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, cermin depan akustik, penapis solar cermin, pengawal suhu satu zon automatik, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan arah, tempat duduk balutan fabrik, sistem infotainmen DVD dengan skrin sesentuh 6.8 inci, enam pembesar suara dan pam angin mudah alih.
Varian 1.8 G yang lebih tinggi pula ditambah dengan lampu LED, cermin sisi yang turun apabila mengundur, pengelap cermin automatik, pengawal suhu dua zon, panel instrumen Optitron dengan skrin TFT LCD tujuh inci, tempat duduk balutan kulit, penghalang cahaya cermin belakang, pengecas telefon Qi tanpa wayar, brek parkir elektronik dan rim 17 inci.
Untuk bahagian keselamatan, semua varian mendapat tujuh beg udara, Vehicle Stability Control (VSC), Hill Start Assist, cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang dan sistem pemerhati tekanan angin tayar. Tetapi, varian 1.8 G yang lebih tinggi pula mendapat pakej bantuan pemandu penuh Toyota Safety Sense yang termasuk Autonomous Emergency Braking, All-speed Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Tracing Assist, Blind Spot Monitoring dan lampu tinggi automatik.
Varian ini juga diberikan sistem kamera “3D” 360 darjah serta perakam video depan dan belakang (dijual secara berasingan untuk varian 1.8 E pada harga masing-masing RM2,700 dan RM1,100). Turut ditawarkan adalah sistem telematik kenderaan pada harga RM1,700, yang termasuk langganan selama dua tahun berharga RM250 setahun.