Teknologi blockchain elak SSLN ditiru sindiket

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan menggunakan teknologi blockchain pada Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN), dokumen penting diperlukan lepasan sekolah yang ingin melanjutkan pengajian di universiti luar Malaysia.
SSLN atau No Objection Ceritificate (NOC) diperkenalkan pada 2003 adalah mekanisme kawalan, bagi mengelakkan kemasukan pelajar Malaysia yang tidak memenuhi syarat kelayakan ke institusi pengajian tinggi (IPT) di luar negara.
Dokumen itu bertujuan menjamin kualiti pelajar yang bakal menuntut di luar negara, selain diguna pakai oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA, sebagai salah satu syarat untuk memohon biasiswa atau pinjaman pendidikan.
Bagaimanapun, sistem pengeluaran SSLN sedia ada dikesan ada kelemahan dan tiada ciri-ciri kawalan serta keselamatan terbaik, sehingga boleh dimanipulasi dan dipalsukan untuk dijual sindiket, terutama kepada graduan perubatan Malaysia dari universiti luar negara.
Berikutan itu, Kementerian Pendidikan membuat keputusan memperkenalkan teknologi blockchain. Difahamkan, ia akan menyaksikan SSLN dilengkapi imbasan kod maklum balas pantas (QR Code), mengandungi data peribadi dan kelulusan pelajar.
Data berkenaan mampu diakses oleh pihak universiti dan bagi siswazah perubatan, maklumat peribadi serta kelayakan akademik mereka juga boleh diakses oleh agensi berkaitan sektor perubatan negara.
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, mengesahkan penggunaan teknologi itu yang boleh mengelakkan pemalsuan SSLN, serta memastikan hanya siswazah luar negara yang layak diambil berkhidmat.

- Advertisement -
“Teknologi blockchain sedang dirumus oleh Kementerian Pendidikan dan kami bekerjasama dengan pelbagai agensi, khususnya Kementerian Kesihatan dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), bagi menyelesaikan segala kelemahan yang ada.
“Disebabkan SSLN boleh dimanipulasi sehingga ada menjual sijil yang dipalsukan, sudah sampai masa ia dinaik taraf dengan dilengkapi teknologi baharu,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH.
Sejak diperkenalkan pada 2003 sehingga tahun lalu, sebanyak 36,044 SSLN sudah dikeluarkan, manakala sejumlah 566 permohonan mendapatkan dokumen itu diterima dan diproses sepanjang Januari sehingga Ogos tahun ini.
Menerusi teknologi blockchain, Siti Hamisah berkata, maklumat setiap pemohon SSLN akan direkodkan untuk rujukan agensi lain seperti MMC, apabila siswazah perubatan mahu berkhidmat dalam negara.
“Melalui mekanisme terbaru ini, tiada pihak boleh ambil kesempatan atau siswazah yang tidak layak, diambil berkhidmat,” katanya.
BH menerusi laporan eksklusif bermula 2 September lalu mendedahkan, sesetengah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikatakan sanggup mengeluarkan belanja besar untuk mengikuti pengajian perubatan di universiti luar negara, walaupun tidak memenuhi syarat minimum ditetapkan kerajaan.

Sebagai ‘jalan pintas’ untuk bergelar doktor, pelajar daripada keluarga berkemampuan dipercayai mengeluarkan wang sendiri walaupun majoriti daripada mereka dipercayai tidak memenuhi syarat SSLN.
Berikutan itu, ada pihak mengambil kesempatan memalsukan SSLN sebelum dijual pada harga sehingga RM8,500 untuk membolehkan pelajar melanjutkan pengajian ke universiti asing, termasuk dalam bidang perubatan di Russia.
Siti Hamisah mengakui, pendedahan BH mengenai isu berkenaan terutama kewujudan sindiket menjual SSLN palsu, mendorong langkah pembaharuan dibuat pada dokumen berkenaan.
“Pendedahan itu membuka mata terhadap kegiatan aktif sindiket dan ia harus ditangani segera kerana kesan serius terhadap industri pendidikan dan kesihatan negara. Teknologi blockchain dipilih kerana ia tidak boleh ditiru.
“Melalui teknologi ini, bukan sahaja JPT dan agensi berkaitan boleh menyemak ‘kesahihan’ pelajar, tetapi juga universiti luar negara. Kami sedia kongsi maklumat dengan mereka,” katanya.
Ditanya sama ada SSLN mampu mengelak pelajar tidak layak menuntut jurusan perubatan di luar negara, beliau berkata, pihaknya tidak boleh menghalang sesiapa pun belajar, tetapi ia memberi masalah apabila mereka pulang ke tanah air untuk berkhidmat.

“Sama ada Kementerian Pendidikan mengiktiraf pelajar itu layak atau tidak (menerusi SSLN), pasti tiada kekangan mereka mengikuti pengajian perubatan di luar negara,” katanya.
Mengakui SSLN penting sebagai dokumen yang perlu diperakui agensi lain khususnya kepada penerima biasiswa, beliau berkata, pihak yang seharusnya memainkan peranan besar dalam isu itu adalah ibu bapa sendiri.
“Ibu bapa perlu melihat adakah anak mereka layak atau tidak untuk bergelar doktor. Jika layak, pasti tidak akan berdepan masalah, sebaliknya akan merugikan jika tidak layak.
“Pelajar akan pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian, tetapi tidak boleh berkhidmat kerana faktor ini,” katanya.