TPM bimbang masyarakat ketagih teknologi, media sosial

0

GOMBAK: Timbalan Perdana Menteri bimbang dengan tabiat masyarakat yang taksub dan terlalu bergantung dengan teknologi dan media sosial sehinggakan kanak-kanak seawal usia dua tahun sudah didedahkan dengan gajet seperti telefon pintar.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kelekaan menggunakan teknologi akan mendorong masyarakat untuk tidak lagi bergantung kepada komunikasi di alam nyata, sekali gus memberi kesan buruk terhadap hubungan antara individu terutama keluarga.

Beliau berkata, penggunaan teknologi secara salah membuatkan orang ramai terikat dengan gajet untuk mendapatkan maklumat dan hanya berinteraksi di alam siber sehingga tidak mengendahkan lagi dunia fizikal dan orang sekeliling.

“Hari ini sudah menjadi lumrah di mana kita melihat fenomena orang ramai yang begitu terikat dengan gajet dan peranti digital untuk mendapatkan maklumat, berinteraksi dan berkomunikasi di alam siber tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekeliling.

“Situasi ini amat membimbangkan apabila kita melihat sekelompok remaja atau sekumpulan dewasa yang terdiri daripada rakan taulan malah satu keluarga yang duduk bersama-sama akan tetapi tidak berkomunikasi antara satu sama lain. Malah, mereka asyik menggunakan gajet dan peranti digital masing-masing.

“Lebih membimbangkan lagi apabila kanak-kanak seawal usia dua hingga tiga tahun telah mula bermain gajet atau peranti digital seperti tablet dan telefon pintar, seolah-olah peralatan ini telah menjadi peneman atau pengasuh selain ibu bapa dan penjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Produktiviti Bersama Komuniti dan Pelancaran Program AWASpada Keselamatan Siber di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), tengah hari tadi.

Dr Wan Azizah berkata, gejala ‘digital drug’ (dadah digital) iaitu apabila seseorang individu menghabiskan masa lebih daripada empat jam menggunakan internet untuk sesuatu perkara yang tiada kaitan dengan pekerjaan atau pun pembelajaran, mengundang pelbagai masalah.

Katanya, ada ibu bapa yang memberikan telefon pintar untuk mendiamkan anak kecil mereka dan cara ini berisiko menyebabkan anak berkenaan ketagihan gajet pada masa akan datang.

“Ibu bapa harus sedar bahawa gajet bukanlah pengasuh kedua untuk anak-anak mereka. Lebih baik berkomunikasilah secara bersemuka berbanding anak-anak dibiarkan bersendirian merenung imej atau pun animasi di skrin tablet,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, kajian pengguna internet 2018 oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati purata tempoh melayari internet adalah selama 6.6 jam hari dengan 93.1 peratus pengguna mengakses internet melalui telefon pintar.

Beliau berkata, golongan belia pula memperuntukkan secara purata lapan jam sehari berada di dalam talian.

“Penggunaan internet yang ekstrem boleh mengakibatkan pengguna internet menjadi ketagihan sehingga ia mengancam kesihatan fizikal dan juga mental.

“Situasi ini akan menjadi lebih membimbangkan sekiranya penggunaan Internet oleh kanak-kanak dan remaja tidak dipantau oleh ibu bapa atau penjaga,” katanya.

08.jpg

- Advertisement -

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d