28.jpg

LONDON: Sadio Mane mengulangi komitmennya terhadap Liverpool dengan berkata “Saya benar-benar sukar untuk menggambarkan bagaimana gembiranya saya di sini.”

Penyerang kelahiran Senegal itu sudah beberapa kali dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Anfield dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid antara yang dikhabarkan memburu khidmatnya.

Spekulasi itu sekali lagi meningkat apabila Mane yang dikenali dengan watak yang tenang menunjukkan kemarahannya kepada rakan sepasukannya, Mohamed Salah ketika perlawanan Liga Perdana menewaskan Burnley, baru-baru ini.

“Sejujur-jujurnya, saya amat gembira untuk menjadi sebahagian daripada kelab ini, menjadi keluarga di sini,” kata Mane. “Kami memiliki peminat terbaik di dunia, jadi saya sentiasa bersyukur atas sokongan ini.

“Ia bukan saja hebat untuk saya, ia turut memberikan keseluruhan skuad motivasi tambahan untuk menampilkan persembahan terbaik. Ia membuatkan kami terus lapar untuk menjadi lebih baik, dan menjadi lebih baik bersama-sama.

“Saya benar-benar sukar untuk menggambarkan bagaimana gembiranya saya untuk berada di sini!”

Mane menikmati tiga musim mengujakan di Liverpool dan sudah meledak 63 gol untuk kelab itu yang turut menghadiahkannya anugerah Kasut Emas dan trofi Liga Juara-Juara, musim lalu.

“Ia detik yang istimewa untuk saya, dan juga untuk rakan sepasukan saya,” kata Mane mengenai kejayaan di Madrid itu. “Ketika saya remaja, saya menonton perlawanan Liga Juara-Juara, terutama final. Jadi satu mimpi untuk bermain di final.” – Agensi

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.