Renault City K-ZE – EV mampu milik, RM36k di China

- Advertisement -
Sekarang ini sudah banyak pengeluar kenderaan yang menghasilkan model elektrik, tetapi kebanyakannya boleh dianggap satu penawaran yang lebih mewah dan mempunyai harga yang tinggi. Renault mahu mengubah perkara ini, dan telah melancarkan City K-ZE di China.
Model ini pertama kali didedahkan waktu Shanghai Motor Show April lalu, dan sekarang dijual pada harga bermula 61,800 yuan, atau sekitar US$8,684 (RM36,234). Dengan harga sebegini, City K-ZE boleh meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di kalangan orang biasa.
Ia dihasilkan bersama dengan Dongfeng Motor Group, dan pernah muncul sebagai model konsep di Paris Motor Show 2018. Penggerak City K-ZE adalah motor elektrik yang terletak di hadapan, mampu menghasilkan 44 hp (33kW), 125 Nm tork dan laju maksimum 105 km/j.
Motor elektrik ini pula mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 26.8 kWh, dan menurut Renault, ia boleh membawa kepada perjalanan 271 km mengikut aturan NEDC – satu jarak yang lebih daripada mencukupi untuk perjalanan harian biasa. Penggunaan kuasa kenderaan ini adalah 10.8 kWh bagi setiap 100 km.
City K-ZE boleh dicas dengan sumber AC dan DC. Jika menggunakan sumber AC, penyambung Type 2 dan output 6.6 kW, ia akan mengambil masa selama empat jam untuk penuh. Menggunakan pengecasan pantas DC dan penyambung GB/T pula, ia cuma akan mengambil masa setengah jam untuk mencecah tahap bateri 80%, daripada 30%.
Mungkin ada yang mengatakan City K-ZE ini nampak seperti pernah dilihat. Ini kerana ia mempunyai asas yang sama dengan model Kwid, dan diubah suai untuk meletakkan penggerak elektrik. Antara yang berbeza jika dibandingkan dengan Kwid adalah gril, lampu hadapan serta beberapa bahagian kecil lain.
Pada bahagian dalam, keadaannya sama sahaja seperti Kwid, kecuali panel instrumen separa digital serta tombol “pemilih gear”. Walaupun kereta ini mempunyai bateri lithium ion, ia masih menyediakan 300 liter ruang barangan di belakang, sama seperti Kwid biasa.
Kelengkapan lain yang didatangkan pada City K-ZE adalah termasuk sistem infotainmen Easy Link dengan skrin sesentuh lapan inci, fungsi navigasi, muzik atas talian, dua pembesar suara, kamera undur, pengawal pendingin hawa manual, telemetri kenderaan melalui aplikasi telefon pintar, sistem pemerhati tekanan angin tayar serta rim 14 inci.
Di China, City K-ZE ditawarkan dalam tiga varian dengan varian seterusnya selepas varian asas dijual pada harga 66,800 yuan (US$9,389 atau RM39,189) dan diikuti varian paling tinggi berharga 71,800 yuan (US$10,091 atau RM42,121). Buat masa sekarang City K-ZE hanya dijual di China tetapi akan memasuki pasaran global pada masa hadapan termasuk India.