Man United bersalah – Sanchez

- Advertisement -
LONDON: Alexis Sanchez percaya kegagalannya untuk menyinar sepanjang tempoh 18 bulan di Manchester United sebelum menyertai Inter Milan secara pinjaman adalah berikutan kurang diberi peluang.
Pemain kelahiran Chile itu berpindah ke Itali secara pinjaman selama 10 bulan, minggu lalu dengan United masih perlu membayar sebahagian besar gajinya yang berjumlah £400,000 (RM2.03 juta) seminggu.
Sanchez gagal untuk beraksi seperti yang diharapkan oleh United yang membelinya dari Arsenal dengan kontrak selama empat tahun setengah pada Januari 2018 apabila hanya meledak lima gol sepanjang 45 penampilan untuk kelab itu.
Dia hanya disenarai dalam kesebelasan utama sebanyak 31 kali dalam 77 perlawanan Red Devils dan hanya bermain selama 90 minit penuh sebanyak 13 kali.
“Saya sentiasa beritahu rakan-rakan saya, saya mahu bermain,” kata Sanchez. “Jika mereka membenarkan saya bermain, saya akan memberikan yang terbaik.
“Kadang kala saya bermain selama 60 minit kemudian saya tidak bermain pada perlawanan berikutnya, dan saya tidak tahu mengapa.”
Sanchez dibeli United dalam usaha kelab itu merapatkan jurang dengan seteru tetangga, Manchester City yang turut berminat mendapatkan minatnya.
Pada musim penuh pertamanya di Old Trafford, pengendali ketika itu Jose Mourinho dipecat dan digantikan dengan Ole Gunnar Solskjaer yang menyaksikan United menamatkan saingan Liga Perdana di tangga keenam.
Sekali pun gagal memenangi sebarang trofi bersama United, Sanchez berkata dia tidak menyesal menyertai kelab itu berbanding City.
“Saya amat gembira saya pergi ke Manchester United. Saya sentiasa berkata demikian. Ia adalah kelab yang paling banyak menang di England. Apabila saya tiba ke Arsenal, ia menakjubkan, saya gembira tetapi United sentiasa meningkat, mereka membeli pemain untuk menang.” – AFP