12

Julai lalu, Volkwagen Passenger Car Malaysia (VPCM) mula membuka pengambilan tempahan bagi model terbarunya untuk pasaran tempatan, Arteon. Ini selepas model sama dipertontonkan kepada umum di acara paultan.org Premium Auto Car Expo 2018 November tahun lalu.

Volkswagen Arteon pertama kali membuat penampilan global pada 2017 di Geneva, dan dibangun menggunakan platform Modular Transverse Matrix (MQB). Hadir bagi menggantikan model CC sebelum ini, Arteon turut menerima pertambahan dari sudut dimensinya. Ia 4,862 mm panjang (+60 mm), 1,871 mm lebar (+16 mm), 1,427 mm tinggi (+6 mm), dan memiliki jarak antara roda 2,841 mm (+131 mm).

Kelebihan pertambahan ukuran dimensi ini membolehkan ruang dalaman Arteon tersedia sangat luas; 1,016 mm ruang kaki, serta ruang kepala yang juga luas disebabkan rekaan bumbung yang panjang ke belakang. Ruang but belakang pula ialah 563 liter. Dengan tempat duduk dilipatkan, ia akan menjadi 1,557 liter.

13.jpg

Luaran, Arteon antara lain menggunakan unit lampu utama LED (dengan DRL LED) di depan sementara bahagian belakang menampilkan lampu LED dua bahagian; memberikan visual dan wajah yang begitu kemas dan nampak lebar untuk kereta “sedan coupe” ini. Dari depan, perhatikan jalur-jalur yang ketara dengan kemasan krom yang ada, menyuntik kelainan imej bagi kereta ini.

Di dalam pula, arah tuju rekaan “jalur dan tajam” ini turut terlihat, misalnya pada rekaan serba baru untuk papan pemuka. Lihat bagaimana bahagian corong pendingin hawanya ditataletak; dalam satu jalur panjang dari kiri ke kanan, sedikit di bawah pada papan pemuka yang tampil ringkas dalam satu garisan bersih. Ciri elegan mungkin diwakili oleh jam analog di tengah, tetapi untuk paparan meter pemandu, ia adalah digital sepenuhnya.

Untuk pasaran Malaysia, Arteon ditawarkan dengan pilihan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder TSI yang menjana kuasa sebanyak 280 PS dan 350 Nm tork maksimum. Kuasanya disampaikan ke semua roda menerusi kotak gear automatik klac berkembar jenis basah tujuh-kelajuan dan sistem AWD 4Motion dari Volkswagen, bersama sistem differential lock elektronik XDS.

14.jpg

Sistem Kawalan Casis Dinamik (DCC) turut disediakan bagi memberikan mod pemanduan Eco, Normal, Comfort, Sport dan Individual. Kelengkapan lain yang ada termasuk paparan instrumen digital sepenuhnya Active Info Display, sistem infotainmen tertinggi Discover Pro dengan skrin 9.2-inci bersama kawalan gestur dan hubungan aplikasi tanpa wayar Apple Carplay, Android Auto dan Mirrorlink, serta kamera pandangan 360-darjah.

Bagi kelengkapan keselamatannya, Arteon datang dengan enam beg udara sebagai standard, kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan cengkaman (TCS), bantuan mula mendaki (HSA), sistem brek ABS dengan EBD dan BA serta cagak Isofix untuk kerusi kanak-kanak ditempat duduk belakang.

Hadir dalam tingkat kemasan R-Line, Arteon menampilkan gaya standard dengan kit badan agresif dan disudahi dengan penggunaan rim 19-inci. Lapan warna ditawarkan untuk pasaran tempatan iaitu Manganese Grey, Deep Black, Reflex Silver, Romance Red, Urano Grey, Turmeric Yellow, Oryx White Pearl dan Pyrite Silver.

Volkswagen Arteon dikeluarkan dari kilang pemasangan Volkswagen di Emden, Jerman dan dijual di Malaysia ketika ini dengan harga anggaran antara RM290k-RM310k. Harga rasmi akan diumumkan sebaik sahaja kereta ini dilancarkan tidak lama lagi.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.