‘Terowong’ Arsenal atau Spurs yang bersinar?

0

15

- Advertisement -

KOLUM APA KATA EPL

MINGGU lalu tiga kelab popular daripada kalangan `Big 6’ kecundang. Dua tanpa diduga. Tottenham Hotspur dan Manchester United masing-masing diaibkan oleh Newcastle United, 0-1 serta Crystal Palace, 1-2. Arsenal pula agak mengejutkan apabila tewas mudah 1-3 kepada Liverpool selepas dicanangkan tampil berwajah padu musim ini.

Tiada jawapan konkrit dapat dijelmakan dari mulut Mauricio Pochettino atas kekalahan Spurs kecuali menyifatkan anak buahnya harus menyalahkan diri sendiri. Ole Gunnar Solksjaer pula menganggap ia sebagai asam garam dalam bola sepak termasuk kegagalan Marcus Rashford menyudahkan penalti.

Unai Emery dalam reaksinya selepas kekalahan Arsenal kepada The Reds dilihat lebih diplomasi apabila menyatakan The Gunners optimis akan bangkit sambil memuji barisan pemainnya yang bermain baik, meskipun rekod cemerlang tanpa kalah mereka lebur di Anfield hanya selepas tiga perlawanan.

Kekalahan ketiga-tiga gergasi EPL ini selepas bermula hebat dua aksi awal, jelas sedikit sebanyak menimbulkan persoalan kepada penyokong mereka mengenai peluang mencabar kejuaraan liga musim ini. Rasanya masih ada yang mungkin tetap geram, bengang dan bingung sehingga kini.

Dengan dua calon utama – Liverpool dan Manchester City turut menang yang menewaskan Bournemouth 3-1, kelihatannya seolah-olah bakal berulang situasi seperti musim lalu, apabila kedua-dua kelab terbabit mendominasi saingan sehingga ke penghujung.

Satu lagi kelab gergasi EPL, Chelsea, kembali bangkit dari dua aksi mengecewakan, dengan mengatasi Norwich City, 3-1 minggu lalu. Sebelum ini, penyokong The Blues terpaksa menahan sabar, apabila dimalukan United, 0-4 dan diikat 1-1 oleh Leicester City.

Selepas tiga aksi, Liverpool kini menghuni tangga teratas liga dengan sembilan mata, diikuti City selaku penyandang juara, dengan tujuh mata dan Arsenal tempat ketiga (6). United pula di tempat kelima dengan empat mata manakala Spurs di kedudukan ketujuh dan Chelsea di tangga ke-13 – semuanya dengan empat mata.

Minggu ini, adakah sinar baru dari hujung terowong buat tiga kelab gergasi yang tewas ini? Bagi Arsenal dan Tottenham, mereka mungkin perlu lebih cekal kerana akan membuat perhitungan sesama sendiri. Dua jiran di kota raya London ini akan membuat perhitungan lewat malam esok.

Dalam aksi terakhir liga kedua-dua pasukan di Emirates pada 2 Disember 2018, Arsenal membelasah lawannya itu, 4-2, dengan Pierre-Emerick Aubameyang, Alexandre Lacazette, Lucas Torreira dan Aaron Ramsey tampil sebagai penjaring manakala Eric Dier dan Harry Kane untuk Spurs.

Apakah kedua-dua pasukan ini mampu bangkit dan mencipta kejutan dalam aksi tetangga ini? Yang pasti, pasukan mana yang tewas, harus menyedari, mereka mungkin akan terus ketinggalan di belakang Liverpool dan City dalam saingan liga. Sebagai rekod, kali terakhir Spurs menewaskan Arsenal adalah sembilan tahun lalu dengan keputusan 3-2 menerusi jaring Gareth Bale, Rafael van der Vaart dan Younes Kaboul.

Sementara itu, Liverpool akan meneruskan cabaran memburu kejuaraan musim ini selepas berdepan kemarau selama 30 tahun dengan berkunjung ke Stadium Turf Moor bertemu Burnley. Dengan Jurgen Klopp kelihatan semakin yakin dengan gandingan Mohamed Salah, Firmino dan Sadio Mane, The Reds dijangka tiada masalah mengutip mata penuh.

City pula harus tiada masalah menyambut Brighton untuk terus mengutip tiga mata manakala United berdepan Southhampton di St Marys dengan Solskjaer mencari penawar duka. The Blues pula menerima lawatan Sheffield United dengan harapan menang lagi untuk merapati puncak liga. Selamat menonton.

RAMALAN MINGGU INI

Southampton 1 Man United 3

C Palace 2 Aston Villa 0

Chelsea 3 Sheffiled Utd 1

Newcastle 1 Watford 1

Man City 4 Brighton 1

West Ham 2 Norwich 1

Leicester 2 Bournemouth 1

Burnley 1 Liverpool 1

Everton 1 Wolves 1

Arsenal 2 Tottenham 1

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d