36

LONDON: Lucas Moura menegaskan Tottenham lebih kuat berbanding musim lalu dan bersedia membuktikannya dengan menundukkan Arsenal buat pertama kali dalam kempen Liga Perdana sejak 2010, hujung minggu ini.

Spurs dipalit kekalahan mengejut kepada kelab bergelut, Newcastle United, minggu lalu justeru kelab dari Utara London itu terdesak untuk mencipta kebangkitan.

Selepas mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu, kelab kendalian Mauricio Pochettino itu dijangka berpotensi untuk mencabar Manchester City dan Liverpool bagi trofi Liga Perdana musim ini dan Moura tidak bimbang sekali pun mereka diganggu kekalahan kepada kelab bimbingan Steve Bruce.

“Adakah ia perlawanan sempurna untuk kami selepas kekalahan kepada Newcastle? Ya. Kami perlu memandang ke depan sekarang. Ada banyak perlawanan yang sukar selepas ini,” kata Moura dari Brazil.

“Kami tewas lagi menentang Newcastle tetapi saya yakin dengan kualiti yang kami miliki untuk pergi melawan Arsenal dan pulang dengan tiga mata. Ia adalah apa yang kami perlu lakukan.

“Setiap perlawanan berbeza. Ini adalah musim baharu dan kami memperoleh beberapa pemain baharu. Saya fikir kami lebih kuat. Saya yakin yang kami boleh pergi ke mana-mana dan menang.

“Sudah pasti keputusan menentang Newcastle adalah amat buruk. Kami cuba tetapi amat sukar bermain menentang mereka, terutama apabila mereka sentiasa bertahan selepas menjaringkan gol.”

Sebagai rekod, kali terakhir Spurs menewaskan Arsenal adalah sembilan tahun lalu dengan keputusan 3-2 dengan gol yang dijaringkan Gareth Bale, Rafael van der Vaart dan Younes Kaboul. – Agensi

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.