Lampard puji Abraham, Mount

- Advertisement -
NORWICH: Penyerang Chelsea, Tammy Abraham menerima pujian menggunung daripada jurulatih, Frank Lampard selepas pemain berusia 21 tahun itu meledak dua gol ketika pasukannya menewaskan Norwich City 3-2, malam tadi.
Kejayaan dalam aksi Liga Perdana itu jelas melegakan Lampard kerana ia adalah kemenangan sulungnya dalam aksi kompetitif selaku pengurus Chelsea sejak mengambil alih kelab itu, musim ini.
“Dia mengharungi masa yang agak sukar disebabkan oleh alasan yang kita semua ketahui dan penyerang kadang kala diadili berdasarkan jaringan semata-mata dan ia agak tidak adil,” kata Lampard mengenai Abraham yang berdepan serangan perkauman susulan kekalahan Chelsea kepada Liverpool dalam aksi Piala Super UEFA, 10 hari lalu.
“Tetapi pada hari ini apabila kamu bercakap mengenai karakter dan semangat untuk bermain bersama kelab ini, Tammy cukup layak. Dia menunjukkannya setiap hari. Dia boleh menjadi lebih baik dan lebih baik jadi saya amat gembira dengannya.”
Abraham yang menjaringkan 26 gol ketika dipinjamkan ke Aston Villa yang beraksi di Liga Kejuaraan, musim lalu menjadi antara pemain di bawah usia 24 tahun yang disenaraikan Lampard di Stamford Bridge.
Selain Abraham yang memerlukan tiga minit untuk membuka tirai jaringan, pemain berusia 20 tahun Mason Mount turut mencetak namanya sebagai penjaring dengan Lampard menyenaraikan kesebelasan termuda Blues dalam tempoh 25 tahun.
“Dia seorang yang bijak, bekerja keras dan dia boleh memainkan banyak peranan,” kata Lampard mengenai pemain tengah, Mount, pemain yang dilatihnya ketika menguruskan Derby musim lalu.
“Jadi saya amat gembira dengan dua pemain ini dan kamu boleh melihatnya daripada reaksi peminat. Kamu boleh melihat ada dua pemain muda yang terdesak untuk bermain dengan kelab ini,” katanya. – Reuters