11

Mac lalu, divisi mewah Geely iaitu Lynk & Co telah mendedahkan model jentera jalan raya Lynk & Co 03 Cyan Concept, diinspirasikan dari jentera TCR sebenar yang kini sedang berlumba dalam Kejohanan WTCR. Kini, kereta tersebut telah membuktikan kebolehannya dengan memecahkan dua rekod sekaligus di litar Nürburgring Nordschleife iaitu kereta pacuan hadapan terpantas, dan kereta empat pintu terpantas!

Kereta dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 528 hp dan tork maksima 504 Nm yang dipandu oleh pemandu Sweden, juga juara WTCC 2017, Thed Björk telah mencatatkan masa 7 minit 20.143 saat di Nürburgring, atau 25 saat lebih pantas dari pemegang rekod FWD sebelum ini iaitu Renault Megane RS Trophy-R, dan 4 saat lebih laju dari rekod kereta empat-pintu sebelum ini – Jaguar XE SV Project 8.

Rekod 7 minit 20.143 saat ini adalah rekod yang dicatatkan pada litar penuh 20.832 km selari dengan standard rasmi Nürburgring, dan bukan versi lebih pendek dengan jarak 20.600 km yang digunakan pengeluar lain, menurut Cyan Racing. Untuk rekod litar versi lebih pendek, kereta ini mencatatkan masa 7 minit 15.123 saat.

Peristiwa ini juga merekodkan sejarah buat Lynk & Co sebagai kereta China pertama membuat rekod di Nürburgring menggunakan kereta yang diasaskan dari model produksi massa. Secara purata, Björk telah memandu kereta tersebut pada kelajuan 170.4 km/j pada litar berjarak 21 km yang turut dikenali sebagai “The Green Hell” berkenaan.

“Kami terus membangunkan kereta ini dalam hujan lebat dan panas terik pada litar yang paling menggerunkan dalam dunia ini. Kereta tersebut sangat seronok untuk dipandu tidak kira dalam apa jua keadaan, di Nürburgring atau Autobahn. Rekod yang kami capai ini merupakan sesuatu yang saya letakkan sama tahap dengan gelaran juara dan serlahan tugas saya untuk memindahkan pembangunan dari kereta lumba kepada kereta jalan raya,” kata Thed Björk.

Cyan Racing merupakan juara FIA World Touring Car Championship (WTCC) 2017, ketika itu bersama satu lagi jenama di bawah Geely iaitu Volvo dengan jentera S60. Namun setelah Volvo berpisah dengan Polestar (dijelmakan sebagai jenama kereta sport bebas oleh Geely), dan perubahan undang-undang FIA dari WTCC ke WTCR, Cyan Racing berehat untuk musim 2018.

Dan untuk musim ini, Cyan Racing kembali bersama Lynk & Co, masih dipandu oleh Thed Björk. Projek model jalan raya ini adalah kesinambungan dari model-model dengan konsep sama sebelumnya iaitu Volvo C30 Polestar Concept berkuasa 450 hp dan Juga S60 Polestar Concept berkuasa 508 hp.

“Kami terus melangkaui sempadan dan sasaran yang telah kami tetapkan untuk 03 Cyan Concept, kereta yang berperanan untuk membangunkan platform bagi kereta serta peralatan berprestasi tinggi Lynk & Co pada masa hadapan. Sementara tujuan utama kami adalah untuk pembangunan, rekod yang kami pecahkan adalah bukti kukuh kepada potensi dan kebolehan platform Lynk & Co, serta falsafah kejuruteraan kami setelah berada lebih dari dua dekad dalam sukan permotoran dan kereta jalan raya berprestasi,” kata Henrik Fries, ketua R&D automotif Cyan Racing.

Namun, kereta ini masih lagi belum dijual dalam pasaran buat masa sekarang. Pembangunan 03 Cyan Concept ini akan diteruskan sepanjang 2019, dengan fokus pasukan tersebut selepas ini akan beralih ke ujian musim sejuk di utara Sweden sebagai salah satu ujian bagi menjadikannya sebuah kereta berprestasi tinggi yang boleh digunakan dalam semua keadaan jalan, semua musim dan semua situasi.

Selain dari rekod ini, Cyan Racing juga sebenarnya adalah pemegang rekod kereta pacuan roda hadapan terpantas sebelum ini menerusi jentera lumba sebenar Volvo S60 Cyan TC1 iaitu jentera sama dipandu Bjork ketika bergelar juara WTCC 2017 (Nordschleife + litar GP dengan masa 8:34.813), dan juga bekas pemegang rekod kereta empat pintu terpantas dengan kereta Volvo S60 Concept pada tahun 2016 dengan catatan masa 7:51.110 pada litar 20,832km.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.