Perodua Axia 2019 dibuka untuk tempahan – tambahan varian Style terbaru, ciri VSC/ASA 2.0, bermula RM24k

11

Perodua Axia yang kali terakhir menerima facelift pada 2017, kini bakal diberikan kemaskini terbaru untuk tahun 2019 dan kini mula dibuka untuk tempahan. Melalui peningkatan terbaru ini, Axia bukan sahaja menerima tambahan kelengkapan, sehinggalah kepada varian baru dengan inspirasi SUV serta harga yang dikemaskini.

Antara kelainan kali ini, Axia tidak lagi akan diberikan wajah berlainan untuk membezakan variannya, seperti yang pernah kita lihat antara varian normal dengan varian SE dan Advance sebelum ini. Maksudnya, Axia 2019 kini hanya akan ada satu wajah sahaja, tetapi dengan perbezaan tingkat kemasan dan kelengkapan.

Sebelum ini, Axia ditawarkan dalam empat varian; E, G, SE dan Advance. Varian G dan SE pula ditawarkan dalam kedua-dua pilihan transmisi manual atau automatik (E pula hanya MT, manakala Advance hanya AT). Bagi Axia 2019, ada pertambahan dua varian baru dan tiada lagi SE manual; ini menjadikan selain E, varian lain tidak lagi akan ditawarkan dengan transmisi manual. Selepas ini, Axia akan ada dalam varian E, G, GXtra (baru), Style (baru), SE dan Advance.

Sama seperti sebelum ini, Axia 2019 akan menggunakan hanya satu pilihan enjin; unit 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder yang menghasilkan sebanyak 67 hp dan 91 Nm tork pada 4,400 rpm. Kadar penggunaan minyak didakwa mencapai 22.5 km/l bagi MT, manakala bagi AT empat-kelajuan pula ialah 21.6 km/l. Tetapi, bagi varian Style, ia dikatakan mampu mencapai 20.8 km/l. Kenapa berbeza? Akan dijawab nanti.

12.jpg

Dari segi kelengkapan, semua varian di atas E siap dengan ABS dan EBD, dan buat pertama kali bagi Axia, ada varian yang datang dengan ciri kawalan kestabilan VSC – ciri ini, berserta cangkuk keselamatan untuk bag, ditawarkan dari GXtra ke atas. Ada satu lagi tambahan penting; varian Advance juga akan dilengkapi dengan ciri keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0.

Pertama kali ditawarkan pada Myvi dan kemudiannya Aruz, ia terdiri daripada Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera pada cermin utama. ASA 2.0 pula pertama kali disediakan untuk Aruz, dengan sedikit kemaskini terhadap keberkesanan operasinya; sebagai contoh, PCW bertindak dalam julat kelajuan 4 km/j hingga 100 km/j (sebelum ini hingga 30 km/j sahaja).

Sekiranya pemandu tidak bertindak, PCB akan mengambil alih untuk membrek kenderaan secara automatik (AEB) – brek dalam dua tahap, bermula dengan tekanan brek lemah dan kemudiannya brek kuat sekiranya risiko perlanggaran dikesan tinggi. PCB berfungsi antara 4 km/j hingga 80 km/j terhadap kenderaan dan 4 km/j hingga 50 km/j terhadap pejalan kaki – bertujuan untuk mengurangkan impak dari perlanggaran.

FDA dan PMC pula sama seperti pada Myvi.FDA akan memaklumkan pemandu melalui bunyi sekiranya kenderaan depan telah mula bergerak dalam kesesakan trafik. PMC pula akan menghindari kemalangan sekiranya pemandu tersilap menekan pedal (antara pedal minyak dan brek) dalam situasi parkir. Beg udara pula ada dua, dan ASEAN NCAP bagi Axia kekal empat-bintang.

13.jpg

Varian G menerima dua pembesar suara dan rim 14-inci aloi. GXtra pula mungkin varian yang paling berbaloi; selain VSC dan cangkuk keselamatan untuk beg, ia turut menerima sensor parkir, larasan ketinggian tempat duduk, cermin sisi kuasa elektrik dengan lipatan auto serta dua lagi pembesar suara di belakang (empat kesemuanya).

SE pula hadir dengan kemasan krom pada gril depan serta kit badan untuk menjadikannya lebih sporty. Lain-lain kelengkapan yang ditawarkan untuk varian SE ke atas termasuk filem penapis haba dan sistem tanpa kunci dan butang Push Start. Bagi varian Advance pula, ia menerima tambahan ASA 2.0 dan unit skrin sentuh dengan kamera undur.

Dan terakhir, kejutan yang lebih besar daripada VSC/ASA; Axia Style sebenarnya menerima penampilan yang mengambil ilham dari SUV. Antara imej yang boleh dibayangkan ialah seperti Volkswagen CrossPolo, Hyundai i20 Active dan Honda WR-V. Semua model yang disebut ini merupakan hatchback segmen B yang menggunakan penampilan SUV – Axia Style mengikut jejak ini.

Axia Style antara lain dipasangkan hiasan plastik pada bahagian bawah badannya, dengan seksyen cat warna perak dibahagian bawah bampar depan serta bampar belakang yang mengambil gaya seperti skid plate. Lain-lain tambahan ialah landasan bumbung dalam warna hitam sebagai hiasan. Muka depan Axia Style juga ada sedikit perbezaan melalui penggunaan pelekat dengan tekstur karbon. Selain itu, rekaan dot pada gril serta warna khas oren yang digunakan adalah khusus untuk varian ini.

14.png

Kedudukan Axia Style juga 15 cm lebih tinggi daripada Axia biasa. Ini dicapai bukan dengan perubahan pada sistem suspensi melainkan penggunaan rim aloi 15-inci (lebih besar satu inci) dan tayar yang lebih tebal serta landasan pada bumbung. Semua perbezaan ini menyumbang kepada bacaan penggunaan minyak yang sedikit tinggi – 20.8 km/l berbanding 21.6 km/l bagi versi Axia yang lain.

Di dalam, Axia Style tiada perbezaan melainkan fabrik denim yang digunakan untuk tempat duduk. Dari segi kelengkapan, ia mirip penawaran pada GXtra, dengan tambahan sistem tanpa kunci dan butang Push Start. Varian ini dijangka akan menyumbang 20% ke 25% daripada jualan keseluruhan Axia 2019.

Harga atas jalan tidak termasuk insurans bagi setiap varian adalah seperti berikut; Axia E (RM24,090), G (RM33,490), GXtra (RM34,990), Style (RM38,890), SE (RM38,890) dan Advance (RM43,190). Perodua Axia 2019 didatangkan dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana dahulu).

15.jpg

Perbezaan kelengkapan antara setiap varian bagi Perodua Axia 2019 adalah seperti berikut:

Peordua Axia E 2019 (RM24,090)

Enjin: 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder, 67 hp dan 91 Nm tork
Transmisi: Manual lima-kelajuan
Penggunaan minyak: 22.5 km/l
Rim: Keluli 14-inci
Perodua Axia G 2019 (RM33,490)

Ditambah:

ABS dan EBD
Dua pembesar suara di depan
Rim aloi 14-inci
Penggunaan minyak: 21.6 km/l
Perodua Axia GXtra 2019 (RM34,990)

Ditambah:

VSC dengan TRC
Cangkuk anti-ragut
Sensor bampar depan
Sensor undur
Ketinggian kerusi boleh laras
Cermin sisi elektrik (lipatan automatik)
Empat pembesar suara (dua di depan dan dua di belakang)
Perodua Axia SE 2019 (RM38,890)

Ditambah:

Filem penapis haba
Sistem tanpa kunci dan butang Push Start
Gril depan kemasan krom
Skirting depan
Skirting sisi
Perodua Axia Style 2019 (RM38,890)

Ditambah:

Bampar depan, belakang dan gril Style
Rim aloi 15-inci
Dikurangkan (berbanding SE/AV):

ASA 2.0
Filem penapis haba
Kamera undur
Skirting depan
Penggunaan minyak: 20.8 km/l
Perodua Axia AV 2019 (RM43,190)

Ditambah:

ASA 2.0
Kamera undur

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: