Firma teknologi China dijangka catat pertumbuhan lembap

- Advertisement -
BENGALURU: Firma teknologi, e-dagang dan elektronik pengguna terkemuka China dijangka melaporkan kelembapan yang ketara dalam pertumbuhan pendapatan pada suku tahunan Jun, apabila perang perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) yang semakin meruncing memberi kesan terhadap ekonomi China dan menjejaskan perbelanjaan pengguna.
Pendapatan di beberapa syarikat teknologi terbesar di China dijangka berkembang 26 peratus (%) secara purata pada suku berakhir 30 Jun – paling perlahan dalam enam suku tahunan – berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, menurut anggaran konsensus dari Refinitiv.
Ini termasuk gergasi e-dagang China, Alibaba Corp dan saingannya yang lebih kecil dari JD.com, firma internet Baidu Inc, dan Tencent Holdings, syarikat permainan terbesar di dunia.
Pendapatan bersih di syarikat terbabit dijangka meningkat 9%, berbanding peningkatan 50% tahun sebelumnya.
Perang perdagangan mengakibatkan pasaran renggang dan rantaian bekalan global dan syarikat teknologi terpaksa memikirkan semula taktik pengeluaran dan pemasaran. Suku tahunan yang lemah pada bulan Jun dijangka mendorong firma untuk mengurangkan lagi kos bagi meningkatkan margin.
Pertumbuhan ekonomi China berkurangan kepada 6.2% pada suku kedua, kadar paling lemah dalam tempoh sekurang-kurangnya 27 tahun.
“Memandangkan ekonomi perlahan dan pengetatan kredit di China, kita boleh menjangkakan untuk melihat ini memberi kesan dalam … cara yang berbeza,” kata penganalisis teknologi berpangkalan di Taipei, Sam Reynolds.
“Bagi syarikat yang lebih banyak fokus kepada perniagaan-ke-pengguna, ini akan dapat dilihat dari segi perbelanjaan pengguna yang lebih perlahan; bagi syarikat yang lebih kepada perniagaan-ke-perniagaan (seperti Baidu) ini akan dapat dilihatkan dalam pembelian iklan yang kurang.”
Berikut adalah beberapa pencapaian untuk firma-firma ini yang dijadualkan melaporkan keputusan kewangan mereka pada minggu-minggu yang akan datang, berdasarkan data Refinitiv:
* JD.com, yang dijangka melaporkan pendapatan pada hari Selasa, boleh mencatatkan keuntungan kecil dengan membendung kos. Namun, dengan pengguna yang kurang membeli peralatan rumah dan elektronik, peruncit dalam talian itu berkemungkinan mencatat pertumbuhan pendapatan paling perlahan dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun.
* Keuntungan Alibaba mungkin meningkat 27%, kenaikan suku tahunan keempat berturut-turut. Promosi besar dijangka mendorong penjualannya 38% lebih tinggi, tetapi itu akan menjadi pertumbuhan paling perlahan syarikat dalam tempoh 14 suku tahunan.
* Tencent dijangka mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebanyak 24%, berbanding penurunan 2% setahun sebelumnya, dibantu oleh penggunaan permainan video bertema patriotik dan perkhidmatan awan. Unit penstriman muzik – Tencent Music – pada Isnin tersasar anggaran pendapatan apabila ia melaporkan kenaikan paling perlahan dalam situasi pemantauan ketat terhadap pertunmbuhannya sejak kemunculan pertamanya pada Disember.
* Alibaba dan Tencent, syarikat tersenarai terbesar di China, masing-masing kerugian kira-kira AS$96 bilion dalam nilai pasaran sejak perang perdagangan mencatat tempoh terburuk pada bulan Mei.