Palace ikat Everton, Brighton, Burnley langkah kanan

26

- Advertisement -

LONDON: Everton mensia-siakan deretan peluang untuk memulakan kempen Liga Perdana dengan nota kemenangan apabila diikat 0-0 oleh Crystal Palace, malam tadi.

Beraksi di gelanggang lawan, Everton dikecewakan dengan pertahanan baik Palace selain kehebatan penjaga golnya, Vicente Guaita yang menggagalkan deretan percubaan terutama pada babak pertama.

Peluang terbaik pelawat hadir pada minit ke-14 apabila rembatan Richarlison yang sudah pun menewaskan penjaga gol Palace, Vicente Guaita berjaya dikeluarkan daripada garisan gol oleh penyerang, Christian Benteke.

Sekali pun Palace beraksi lebih baik pada babak kedua, cubaan mereka berjaya dinafikan pertahanan Everton dengan barisan serangan pasukan itu tampak tumpul selepas pengurus, Roy Hodgson tidak menyenaraikan penyerang bintangnya Wilfried Zaha dalam kesebelasan utama.

Penyerang kebangsaan Ivory Coast itu dimasukkan pada babak kedua tetapi tiada apa yang mampu disumbangkan olehnya untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Pada aksi di Turf Moor, Ashley Barnes meledak dua gol ketika Burnley menewaskan Southampton 3-0 dalam pertembungan kedua-dua kelab yang bergelut musim lalu.

Burnley menjaringkan gol pada minit ke-16 menerusi Chris Wood tetapi ia dibatalkan Video Bantuan Pengadil (VAR) susulan ofsaid sebelum Barnes membuka tirai jaringan pada minit ke-63 menerusi hantaran jauh Erik Pieters.

Gandingan Barnes dan Pieters sekali lagi mengganas apabila meledak gol kedua, tujuh minit berselang sebelum pemain sayap Iceland, Johann Berg Gudmundsson menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-75 selepas dia berjaya mengatasi Ryan Bertrand sebelum menewaskan penjaga gol Southampton, Angus Gunn dengan penyudah sempurna.

Di Vicarage Road, jaringan sendiri pemain tengah Watford, Abdoulaye Doucoure dan gol pada babak kedua menerusi penyerang, Florin Andone dan Neal Maupay memberikan Brighton & Hove Albion kemenangan 3-0.

Sementara itu di Stadium Vitality, AFC Bournemouth diikat 1-1 oleh muka baharu Liga Perdana, Sheffield United. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: