Persaingan liga terhebat dunia bermula

- Advertisement -
KOLUM APA KATA EPL
KITA bertemu semula. Sedar tak sedar, musim baru muncul lagi. Dan seperti musim-musim terdahulu, saya percaya peminat setia Liga Perdana Inggeris (EPL) terutama penyokong tegar kelab yang bersaing, sudah pasti tidak sabar menyaksikan pelbagai aksi menarik dan menakjubkan.
Sebelum menyentuh mengenai saingan musim ini, suka saya imbas sedikit mengenai kejuaraan musim lalu. Manchester City adalah juara liga manakala dua lagi piala domestik yang dipertandingkan iaitu Piala FA dan Piala Liga selain Perisai Komuniti turut disapu bersih oleh skuad Pep Guardiola.
Tiga kelab tersingkir adalah Huddersfield, Fulham dan Cardiff City manakala dinaikkan dari Liga Kejuaraan ialah Norwich City, Sheffield United dan Aston Villa. Kelab layak ke Liga Juara-Juara adalah City, Liverpool, Chelsea dan Tottenham Hotspur manakala Arsenal, Mancehster United dan Wolves saingan Liga Europa.
Penjaring terbanyak adalah Mohamed Salah (Liverpool), Pierre-Emerick Aubameyang (Arsenal) dan Sadio Mane (Liverpool) dengan 24 gol. Pemain Terbaik EPL pula milik pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk. Beliau juga dipilih sebagai Pemain Terbaik PFA (Persatuan Pemain Profesional) EPL manakala penyerang City, Raheem Sterling dipilih Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bolasepak.
Gelaran-gelaran di atas sudah pasti akan sekali menjadi rebutan musim ini. Persoalannya, mampukah kelab lain menggugat City musim ini yang sudah melaungkan amaran awal dengan menggunguli Perisai Komuniti minggu lalu menerusi kejayaan menewaskan Liverpool?
Inilah yang menarik untuk kita saksikan dengan sepak mula liga bermula secara rasmi hari ini. Musim lalu, skuad Guardiola memenangi kejuaraan liga dengan hanya kelebihan satu mata ke atas Liverpool menerusi himpunan 98 mata.
Ia adalah kejuaraan kedua-dua berturut-turut City dan musim ini mereka berazam memintas rekod jiran mereka, United, untuk mencatat hatrik. Dan bagi Liverpool pula, kegagalan luar biasa itu (selepas hanya tewas sekali daripada 38 aksi), meletakkan mereka dalam kedudukan tahun ke-30 kemarau juara liga.
City akan memulakan sepak mula liga hari ini, jam 7,30 malam waktu Malaysia dengan berkunjung ke Stadium London bertemu West Ham, manakala Liverpool menyambut kunjungan pendatang baharu liga, Norwich City di Anfield, jam 3 pagi. Tentunya, hanya kemenangan menjadi buruan kedua-dua pasukan.
Bagi minggu pertama ini, perlawanan tumpuan sudah pasti aksi antara Chelsea dan United di Stamford Bridge, jam 11.30 malam esok. The Blues tampil dengan pengurus baru yang juga bekas bintang mereka, Frank Lampard namun tanpa kehadiran sebarang bintang baharu.
Pasukan ini kehilangan penyerang, Eden Hazard yang berpindah ke Real Madrid dan pertahanan, David Luiz yang ke Arsenal secara mengejut. Tanpa pemain baru susulan larangan pembelian, tentunya Lampard terpaksa bergantung kepada pasukan sedia ada yang menjuarai Liga Europa musim lalu.
United pula yang bergelut musim lalu untuk berpuas hati di tempat keenam liga, mengikat tiga bintang baru iaitu pemain sayap, Daniel James selain pertahanan termahal dunia, Harry Maguire serta bek Aaron Wan-Bissaka dan dalam masa sama melepaskan Romelu Lukaku ke Inter dan Ander Herrera.
Seperti Lampard, pengendali United, Ole Gunnar Solksjaer sudah pasti sedar akan tekanan dihadapi untuk mengangkat semula kedudukan juara liga sebanyak 20 kali itu musim ini ketika penyokong tegar semakin hilang sabar.
Dalam aksi lain, Tottenham akan menyambut kunjungan Aston Villa tengah malam ini manakala Arsenal yang mengikat Nicolas Pepe, William Saliba, Dani Ceballos selain Luiz dan Kieran Tierney bertandang ke St James Park bertemu Newcastle United. Selamat menonton.
Ramalan Minggu Pertama
Liverpool 4 Norwich 0
West Ham 1 Man City 2
C Palace 2 Everton 2
Burnley 2 Southampton 1
Watford 2 Brighton 1
Bournemouth 3 Sheffield 1
Tottenham 2 Aston Villa 1
Leicester 2 Wolves 2
Newcastle 0 Arsenal 2
Man United 1 Chelsea 1