Coutinho kekal di Barca – Valverde

22.jpg

MIAMI: Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde mengesahkan bintangnya Philippe Coutinho akan kekal di Nou Camp disebalik minat yang ditunjukkan kelab di Liga Perdana.

Perkembangan terbaharu itu hadir selepas pemain Croatia, Ivan Rakitic meledak gol kemenangan pada minit ke-79 bagi membantu Barca menewaskan Napoli 2-1 di Stadium Hard Rock pada aksi persahabatan, hari ini.

Peluang bekas penyerang Liverpool, Coutinho, 27, untuk kembali ke England tampak tipis sekali pun dipalit spekulasi perpindahan ke Tottenham dan Arsenal apabila jendela perpindahan Liga Inggeris dijadual menutup tirainya, awal pagi esok.

Selain Coutinho, bekas penyerang Barca Neymar, yang ketika ini menyarung jersi Paris St. Germain juga dikatakan akan membuat kepulangan sensasi ke juara Sepanyol itu sekali pun cerita mengenai perpindahannya ke seteru Real Madrid terus meningkat.

“Perancangannya adalah untuk meletakkan harapan terhadap Coutinho,” kata Valverde. “Jendela perpindahan masih dibuka tetapi kami menjangkakan dia akan kekal.

“Bagi Neymar pula, pada kali terakhir saya datang ke stadium ini saya perlu menjawab banyak soalan mengenainya. Dua tahun kemudian, ia berlaku sekali lagi. Ia seperti ia mengikuti saya. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku.”

Selepas Barca membuka tirai jaringan menerusi Sergio Busquet, Napoli menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri Samuel Umtiti sebelum Rakitic menyelamatkan keadaan.

“Permainannya agak terbuka dan kami berupaya untuk memberikan ramai pemain peluang untuk bermain jadi ia positif buat kami,” kata Valverde yang kehilangan bintang utamanya, Lionel Messi bagi jelajah berkenaan.

Pemain baharu Barca, Antoine Griezmann yang dibeli dari Atletico Madrid juga semakin selesa dan bergandingan dengan baik bersama penyerang, Luis Suarez.

Coutinho turut mengikuti jelajah ke Amerika Syarikat tetapi tidak disenarai dalam pasukan kerana diberikan rehat yang lebih selepas mengharungi kempen Copa America bulan lalu. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: