08

SAN FRANCISCO: Samsung memperkenalkan telefon pintar berskrin besar Galaxy Note generasi baharu pada harga AS$950.

Bahkan pada pelancaran itu gergasi elektronik dunia itu mengumumkan akan mengadakan kerjasama yang lebih rapat dengan Microsoft bagi memastikan fungsi perkhidmatan yang lebih lancar merentasi semua perantinya.

Telefon pintar kategori Phablet, Note 10 yang dijangka mula dipasarkan pada 23 Ogos ditawarkan dalam dua saiz dengan saiz lebih besar dipasarkan pada harga permulaan AS$1,100.

Harga itu meletakkan model berkenaan dalam kategori premium mengakhiri kegersangan pasaran telefon pintar bagi kategori kelas atas berkenaan.

Generasi terbaharu Note itu diperkenalkan dalam majlis media oleh Ketua IT dan Komunikasi Mudah Alih, DJ Koh, yang memanggil peranti itu sebagai “peranti mudah alih paling berprestasi tinggi di dunia.”

“Setiap elemen Galaxy Note 10 direka khusus bagi membantu pengguna melakukan lebih banyak perkara,” kata Koh.

GALAXY Note 10. – Foto Reuters

“Sama ada mereka sedang menyiapkan projek besar, merakam dan mengedit video, atau sekadar bermain permainan mudah alih, Galaxy Note 10 akan dapat membantu mereka menyelesaikan tugasan dan keperluan itu dengan pantas dan lebih baik.”

Pengenalan Note 10 dan Note 10+ itu turut menyaksikan Ketua Eksekutif Microsoft, Satya Nadella berada pada pentas yang sama dengan Samsung apabila mengumumkan akan bekerjasama lebih rapat bagi sistem operasi Windows dan peranti berkaitannya.

Note 10 dilancarkan dengan keupayaan untuk disesuaikan dengan rangkaian telekomunikasi 5G dalam memastikan pengguna memperoleh pengalaman telefon pintar yang lebih baik.

Kedua-dua model Note mengekalkan tarikan utamanya dengan “S Pen” untuk tulisan atas skrin dan kawalan pergerakan.

Note yang lebih kecil adalah berukuran 6.3-inci pada skrinnya manakala bagi model Note 10+ memiliki skrin lebih besar 6.8 inci. – AFP

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.