08

KUALA LUMPUR: SWS Capital melaksanakan opsyennya untuk membeli 51 peratus kepentingan dalam firma teknologi dron dan robotik, MATA Aerotech Sdn Bhd bernilai RM4.73 juta.

Ini susulan perjanjian opsyennya pada Julai dengan syarikat teknologi maklumat tempatan Nexus Union Sdn Bhd, untuk membeli 3.44 juta saham (atau 51 peratus kepentingan) dalam anak syarikat 70 peratus miliknya MATA Aerotech, syarikat usaha sama ditubuhkan dengan syarikat senaraian Taiwan, Geosat Aerospace and Technology Inc.

Pengerusi Eksekutif SWS, Tan Sri Tan Khoon Hai berkata pembelian itu bertujuan untuk mempelbagaikan perniagaan syarikat daripada pembuatan plastik dan perabot kepada perniagaan perkhidmatan dron, khususnya dalam pertanian.

Sementara itu, SWS turut mengumumkan pengambilalihan Ee Jia Housewares (M) Sdn Bhd, yang menjalankan perniagaan dan memasarkan barangan plastik dan perkakas dapur bagi RM64 juta, yang akan dibeli menerusi gabungan RM20 juta dalam tunai dan terbitan 50 juta saham SWS pada 80 sen setiap satu.

“Perniagaan dron baharu ini dijangka menyumbang RM2 juta dalam keuntungan pada 2020 dengan potensi besar di masa depan, manakala pengambilalihan Ee Jia menyediakan jaminan keuntungan RM5.6 juta setiap tahun bagi tahun kewangan 2019 dan 2020 berakhir 31 Disember,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pengumuman pengambilalihan itu di sini, hari ini.

Mengenai perniagaan perkhidmatan dron, Ketua Pegawai Eksekutif MATA Aerotech, Wan Azrain Adnan berkata syarikat telah menerima pelbagai pembayang minat daripada syarikat perniagaan pertanian besar dan kementerian kerajaan, di dalam negara dan di rantau ini, justeru potensi perniagaannya adalah positif.

Katanya, susulan memorandum persefahaman dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) pada Julai tahun ini, bagi kerjasama dalam menggunakan teknologi dron dalam pengurusan dan operasi di ladangnya, pelaksanaan fasa pertama dijangka menyumbangkan hasil kira-kira RM10 juta pada 2020.

Beliau berkata, FELCRA dengan 257,078 hektar tanah di bawah pengurusannya,mahu memanfaatkan dron dan data analitik untuk menurunkan kos, meningkatkan keefisienan tanaman dan mengurangkan penggunaan tenaga buruh di ladangnya.

Wan Azrain berkata, MATA Aerotech akan memulakan operasinya pada September tahun ini, bermula dengan ladang padi FELCRA dan akan melabur lebih RM3 juta menjelang tahun 2020 untuk mengembangkan operasinya, terutama jumlah dron dan latihan juruterbang dan juruteknik dron.

“Pertanian tepat adalah masa depan pertanian. Dengan menggunakan teknologi dron dan robotik, merintis penyelidikan dan pembangunan untuk sektor pertanian dan melatih juruterbang dron di akademi kami, kami memacu sektor ini ke abad ke-21.

“Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, sambil membolehkan tenaga kerja tempatan meningkatkan kemahiran dan ditugaskan semula dalam pekerjaan bernilai lebih tinggi dalam ekosistem pertanian,” katanya.

PricewaterhouseCoopers menganggarkan pasaran untuk Dron-sebagai-satu-Perkhidmatan (Daas) bernilai AS$127 bilion menjelang tahun depan, dipacu keupayaannya untuk melengkapi sumber data lain, termasuk imejan satelit, pesawat dikawal dan robot daratan.

Daas menjadi pilihan industri seperti infrastruktur, pertanian, pengangkutan, keselamatan, media dan hiburan, insurans, telekomunikasi dan perlombongan. – BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.