Kaji impak ujian penggunaan 5G

08

KUALA LUMPUR: Kajian berhubung impak ujian penggunaan teknologi rangkaian generasi kelima (5G), termasuk berkaitan sektor pekerjaan dan kesihatan perlu dilakukan segera sebelum ia mula dilaksanakan di Malaysia.

Pensyarah Pusat Pengajian Seni Bina dan Alam Sekitar UCSI University, Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi, berkata setiap ledakan teknologi ada memberi kesan baik dan buruk.

Namun katanya, kerajaan wajar mengkaji langkah yang perlu dilakukan sekiranya berlaku impak negatif selepas pelaksanaan 5G.

“Ada ketikanya kita menerima sesuatu teknologi bulat-bulat dan hanya terngadah apabila berlaku sesuatu yang buruk tanpa memikirkan langkah perlu dilaksana sebelum menerima pakai sebarang bentuk teknologi,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian selepas menjadi ahli panel Forum Teknologi 5G di sini, baru-baru ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Seni Bina dan Alam Sekitar UCSI University, Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi. – NSTP/Hafiz Sohaimi

Yang hadir sama Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Seni Liberal UCSI University, Dr Ravindran Latha dan Mohd Ikhram Mohd Riduan serta Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Sains Maklumat UCSI University, Dr Shayla Islam.

Kerajaan sedang giat melaksanakan ujian rintis penggunaan teknologi rangkaian 5G dan baru-baru ini memutuskan untuk memperluaskan ujian berkenaan ke lima negeri tidak lama lagi susulan kejayaan pelaksanaannya di Putrajaya dan Cyberjaya, April lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata kerajaan menjangkakan pelaksanaan perkhidmatan 5G akan dilaksanakan di negara ini pada suku pertama atau selewat-lewatnya pertengahan tahun hadapan.

Mohd Tajuddin berkata, dari segi impak ekonomi, kerajaan perlu melihat kesesuaian Akta Buruh yang membolehkan pekerja bekerja dari rumah, sekali gus dapat menjimatkan kos operasi syarikat dan kesan sampingan ke atas alam sekitar apabila kurangnya kenderaan di atas jalan raya.

“Apabila 5G dilaksanakan, ramai berkata ia akan memudahkan perniagaan dan pekerjaan kerana sebarang tugas tidak lagi perlu dilakukan di pejabat. Semuanya ‘on-the-go’ yang mana tugas boleh dibuat mungkin di rumah. Situasi ini akan mengurangkan bilangan kenderaan di atas jalan raya, sekali gus mengurangkan pelepasan emisi.

“Semua tampak mudah, teknologi sudah tersedia dan kita hanya pakai sahaja. Tetapi adalah ia boleh dilaksanakan dengan mudah tanpa ada pertikaian di depan hari jika perkara ini tidak dikaji secara mendalam?.

“Justeru, kerajaan perlu mengkaji kesesuaian dalam Akta Buruh bagi memberi pilihan kepada majikan dan pekerja membuat keputusan,” katanya.

Menyentuh mengenai kesan kesihatan pula, beliau berkata, timbul kebimbangan mengenai kesan gelombang elektromagnetik yang dilepaskan oleh menara atau pemancar telekomunikasi yang mana kerajaan seharusnya memberi penjelasan sama ada ia betul atau sebaliknya.

Sehubungan itu, katanya, pembabitan beberapa pihak berkepentingan termasuk dalam kalangan orang industri, ahli akademik dan pakar perubatan penting untuk memberi justifikasi yang tepat bagi merungkai persoalan ini dengan bukti kukuh.

“Kajian yang perlu dilaksanakan bukan untuk menolak ledakan teknologi sehingga ke Malaysia. Tidak salah jika kita lewat sedikit (terima 5G) tetapi memiliki pelan kontigensi apabila berlaku situasi dan perkara yang kurang baik,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: