28

LONDON: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola berkata pemain sayap Jerman, Leroy Sane tidak memohon untuk angkat kaki di sebalik minat yang ditunjukkan gergasi Bundesliga, Bayern Munich.

Kemelut membabitkan perpindahan Sane mengganggu Guardiola sepanjang kempen jelajah pra-musim City dan pengurus dari Sepanyol itu mengulangi tekadnya untuk mengekalkan pemain berusia 23 tahun itu di Etihad.

“Saya sudah banyak kali menjawab mengenai persoalan ini (mengenai masa depan Sane), saya tahu khabar angin wujud,” kata Guardiola menjelang perlawanan Piala Perisai Komuniti menentang Liverpool, Ahad ini.

“Mustahil untuk saya meyakinkan mana-mana pemain untuk kekal apabila mereka mahu pergi tetapi pemain itu sendiri tidak memberitahu apa-apa. Jika dia berkata dia mahu keluar, kami akan bercakap dengan kelab berkenaan. Tetapi dia tidak memberitahu saya mengenainya.

“Kami mahu dia kekal, kami cuba untuk melanjutkan kontraknya untuk lebih setahun. Kami agak hampir dan ketika ini ia agak berbeza tetapi itulah realitinya, saya tidak boleh mengulas lanjut.”

Sane pada musim lalu meledak 10 gol dan melakukan 10 umpanan bagi membantu City mengekalkan mahkota Liga Perdana buat kali kedua berturut-turut.

Jendela perpindahan Liga Perdana akan ditutup sehari sebelum musim ini bermula pada 9 Ogos dengan Guardiola berkata dia berharap liga Eropah lain akan mengikuti langkah sama supaya pengurus dalam melengkapkan skuad sebelum perlawanan pertama.

Sementara itu, Guardiola mengesahkan penjaga gol, Claudio Bravo, yang terlepas hampir keseluruhan musim lalu susulan kecederaan akan mengharungi perlawanan pembuka tirai pada Ahad dengan kesemua pemain dari Amerika Selatan sudah kembali menjalani latihan selain Fernandinho. – Reuters

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.